PETALING JAYA: Sebanyak 11 pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara entiti Malaysia dan China dengan jumlah potensi pelaburan sebanyak RM13.2 bilion dimeterai sempena lawatan bersejarah Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia.
MoU tersebut mencerminkan keyakinan berterusan komuniti perniagaan China terhadap kekuatan dan kemampanan hubungan diplomatik selama 50 tahun antara Malaysia dan China, menekankan kedudukan Malaysia sebagai salah satu rakan pelaburan dan perdagangan utama China di rantau Asia Tenggara.
Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, lawatan itu menandakan bab baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-China yang akan membawa lebih banyak manfaat ekonomi yang jelas kepada kedua-dua negara.
“Komitmen Malaysia untuk memperkukuh lagi hubungan ekonomi di antara kedua-dua negara adalah terletak pada pemeteraian Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara Malaysia dan China.
“Selain itu, skop kerjasama ekonomi kedua-dua negara yang diperluas merangkumi Ekonomi Digital dan Pembangunan Hijau,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, MITI gembira melihat semangat kolaboratif G2G yang telah disambut baik oleh sektor swasta kedua-dua negara melalui pertukaran MoU bernilai RM13.2 bilion dalam pelbagai sektor bernilai tinggi.
“MITI berharap kolaborasi ini dapat meningkatkan ekonomi kedua-dua negara.
“Ini termasuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, memperluas perdagangan dalam sektor perkhidmatan dan menarik pelaburan berkualiti serta mempertingkatkan pembangunan modal insan dan hubungan manusia-ke-manusia,” katanya.
MoU utama melibatkan beberapa agensi di bawah MITI, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Bank Eksport-Import Malaysia Berhad (EXIM Bank Malaysia).
MoU antara MIDA dan China International Capital Corporation Limited (CICC) bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi dan industri, dengan fokus kepada meningkatkan peluang pelaburan dalam sektor bernilai tinggi dan meneroka integrasi rantaian bekalan dalam industri utama di Malaysia dan China.
Matrade pula menandatangani MoU dengan Bank of China (Malaysia) untuk memperkukuh hubungan dengan institusi kewangan antarabangsa di samping meningkatkan akses pasaran serta pilihan pembiayaan untuk pengeksport Malaysia.
MoU EXIM Bank Malaysia dengan Industrial and Commercial Bank of China (Malaysia) Berhad (ICBC Malaysia) bertujuan untuk memupuk dan memperkukuh hubungan kewangan dua hala.
MoU yang lain pula dimeterai antara syarikat Malaysia dan China bagi memperkukuh kolaborasi dalam sektor bernilai tinggi seperti minyak dan gas, tenaga, pendidikan dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian, automotif serta perkhidmatan utiliti. – UTUSAN