KWSP raih pendapatan boleh agih RM19.2 bilion suku pertama 2024 - Utusan Malaysia

KWSP raih pendapatan boleh agih RM19.2 bilion suku pertama 2024

KWSP raih pendapatan boleh agih RM19.2 bilion bagi suku pertama 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM19.2 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (S1 2024), naik 33.1 peratus daripada RM14.42 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Pendapatan boleh agih ini tidak termasuk keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi pasaran global pada suku pertama 2024 adalah berikutan pertumbuhan global yang berdaya tahan, terutamanya bagi ekonomi maju.

Ujarnya, indeks FBM KLCI meningkat 10 peratus setakat tahun ini, mencerminkan peningkatan keyakinan dalam pertumbuhan dan kesan pelbagai dasar baharu terhadap ekonomi dan industri.

“Di peringkat antarabangsa, ekonomi Amerika Syarikat (AS) terus berkembang, seterusnya menurunkan jangkaan pemotongan kadar Rizab Persekutuan (Fed) pada tahun ini, selain indeks saham utama yang mempamerkan rali kukuh pada suku pertama, didorong oleh lonjakan saham berkaitan kewangan, penjagaan kesihatan dan teknologi.

“Walaupun prestasi suku pertama kukuh, pasaran kewangan terus berdepan beberapa risiko yang meluas, iaitu kadar faedah ‘tinggi untuk tempoh lebih lama’, risiko geopolitik dan konflik, dan perubahan dasar berikutan pilihan raya yang dilaksanakan oleh beberapa ekonomi besar tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada suku dikaji, pendapatan daripada ekuiti meningkat kepada RM13.15 bilion, berbanding RM8.69 bilion yang direkodkan pada S1 2023.

Kelas aset ini kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 68 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih.

Peningkatan pendapatan ini adalah disumbangkan oleh strategi proaktif pengurus dana untuk mengambil peluang rali pasaran dalam merealisasikan keuntungan modal sebelum berlakunya persekitaran tidak menentu yang dijangkakan pada suku akan datang.

Instrumen Pendapatan Tetap terus menjadi tunjang kepada KWSP, memberikan aliran pendapatan yang stabil dan mengurangkan impak daripada ketidaktentuan pasaran jangka pendek.

Kelas aset ini, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), menyumbang 27 peratus atau RM5.14 bilion kepada pendapatan boleh agih bagi S1 2024.

Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM0.22 bilion pada S1 2024, sementara instrumen Pasaran Wang menjana RM0.69 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.

Keseluruhan aset pelaburan KWSP setakat Mac 2024 meningkat kepada RM1.19 trilion, di mana pelaburan luar negara menyumbang 38 peratus daripada keseluruhan jumlah aset.

Pelaburan luar negara KWSP, yang sebahagian besarnya adalah dalam ekuiti, terus melebihi jangkauan dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP dengan menjana pendapatan sebanyak RM9.88 bilion, mewakili 51 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih yang direkodkan.

Pelaburan domestik KWSP pula menyumbang 62 peratus daripada jumlah aset yang sebahagian besarnya dilaburkan dalam instrumen

Pendapatan Tetap, seterusnya memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui faedah dan keuntungan.

KWSP kekal komited dalam menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya