Kumpulan TDM sasar pendapatan lebih RM600 juta - Utusan Malaysia

Kumpulan TDM sasar pendapatan lebih RM600 juta

TENGKU Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (barisan hadapan, tengah) mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan TDM Berhad Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: TDM Berhad, anak syarikat kerajaan negeri Terengganu menyasarkan pendapatan Kumpulan TDM lebih RM600 juta pada tahun ini berbanding RM594.4 juta yang direkodkan pada tahun lalu.

Pengerusi TDM, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pihaknya optimis dengan sasaran itu berikutan prestasi memberangsangkan daripada dua segmen perniagaan kumpulan iaitu dalam bidang perladangan dan penjagaan kesihatan yang direkodkan setakat ini.

Menurutnya, walaupun bahagian perladangan menunjukkan sedikit penurunan pada tahun lalu, namun Kumpulan TDM telah bersedia untuk berdepan fasa pertumbuhan seterusnya yang memberi tumpuan kepada pengembangan, inovasi dalam operasi untuk meraih keuntungan.

“Bagi segmen perladangan, kami menjangkakan margin yang lebih baik kerana kami meramalkan peningkatan hasil per hektar berbanding situasi sebelum ini.

“Dengan komitmen teguh terhadap pertumbuhan dan ketahanan yang lestari, kami bersedia untuk mengembangkan perniagaan perladangan kami dengan memasukkan pendigitalan dan mekanisasi dalam operasi perladangan bagi meningkatkan produktiviti dan memaksimumkan hasil.

“Pada masa yang sama, kami akan memantau turun naik harga komoditi melalui operasi yang telah diperkemas dan pengurusan kos yang ketat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kali Ke-59 yang diadakan secara dalam talian di Elysium Skybridge, Jambatan Angkat Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, bahagian penjagaan kesihatan telah mencatatkan kemajuan yang ketara sepanjang tahu lalu terutamanya oleh pencapaian mengagumkan KMI Kuantan Medical Centre dan KMI Kuala Terengganu Medical Centre.

Menurutnya, pertumbuhan yang mengagumkan itu disebabkan oleh peningkatan bilangan pesakit, peningkatan pendapatan purata setiap pesakit dan kadar Penghunian Katil (BOR) yang jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Bermula tahun depan, projek pembinaan hospital baharu di Chukai akan bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya