KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) meterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melonjakkan pembangunan digital negara dalam kalangan graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Kerjasama itu merupakan batu loncatan dalam usaha memperkukuhkan pembangunan bakat digital negara serta meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang teknologi digital dan keusahawanan.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, KPT komited memastikan para graduan mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan untuk menyertai industri.
“Pelbagai inisiatif berbentuk peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling) yang dilaksanakan kementerian bertujuan membantu pelajar dan graduan dalam melengkapkan diri dengan kemahiran semasa yang diperlukan.
“MoU ini merupakan sokongan KPT dalam menjayakan pelaksanaan inisiatif berkaitan digital yang melibatkan pelajar-pelajar IPT di bawah kementerian yang merangkumi universiti awam, universiti dan kolej universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti.
“Berdasarkan statistik Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2023 yang dilaksanakan oleh KPT, kadar kebolehpasaran graduan (GE) nasional tahun lepas telah mencatat sebanyak 89.8 peratus.
“Pencapaian ini telah melebihi sasaran iaitu 85.9 peratus bagi 2023 selaras dengan penetapan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12),” katanya dalam ucap tama Majlis Tandatangan Program Kolaboratif Pembangunan Bakat dalam Teknologi Digital dan Keusahawanan Digital, di sini.
Sementara itu, Menteri MDEC melalui Ketua Setiausahanya, Fabian Bogar berkata, MoU itu satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh ekosistem digital negara, terutamanya dalam aspek pendidikan dan pembangunan bakat digital.
“Ini juga membuka lembaran baharu dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan yang berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi digital dan keusahawanan digital.
“Saya yakin dengan adanya kerjasama erat antara MDEC dan KPT dapat mencapai visi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital serantau.
“Ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelajar dan institusi pengajian tinggi tetapi juga kepada pembangunan industri tempatan dan secara tidak langsung dapat melonjakkan ekonomi digital negara secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN