Kejatuhan kedudukan daya saing bukan salah kerajaan sepenuhnya - Utusan Malaysia

Kejatuhan kedudukan daya saing bukan salah kerajaan sepenuhnya

KEJATUHAN kedudukan Malaysia dalam WCR sebanyak tujuh anak tangga menjadi perdebatan. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya susulan kejatuhan dalam Kedudukan Daya Saing Global (WCR) yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) baru-baru ini.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng berkata, syarikat perniagaan harus berkongsi beban kerajaan berikutan kejatuhan ke kedudukan 34 daripada 27 pada tahun lalu, untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

Ujarnya, Malaysia jatuh ketara dalam lima daripada 20 subfaktor yang memberi wajaran yang sama kepada kedudukan iaitu ekonomi domestik, produktiviti dan kecekapan, infrastruktur teknologi, amalan pengurusan, serta sikap dan nilai.

“Peningkatan mendadak dalam jumlah pekerja asing tidak mahir dan separa mahir memberi kesan kepada prestasi negara dalam subfaktor produktiviti dan kecekapan kerana penarafan itu mengambil kira pertumbuhan produktiviti dalam pelbagai sektor setiap tahun,” katanya dalam kenyataan.

Jelas William, perusahaan termasuk PKS perlu bertindak segera dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing yang tidak mahir dan berkemahiran rendah serta pemerolehan dan pemberian kerajaan.

“Justeru, kami menggesa perniagaan dan PKS antara lain mengguna pakai alat kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan,” katanya.

Selasa lalu, IMD menerusi Laporan WCR melaporkan Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.

Indikator itu menunjukkan Malaysia jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada tahun lalu.

Penurunan Malaysia dapat dilihat dengan jelas merentasi hampir semua faktor yang dinilai termasuk prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan.

Infrastruktur adalah satu-satunya ukuran di mana Malaysia mengekalkan kedudukannya.

Laporan itu seterusnya menyerlahkan penurunan ketara bagi Malaysia dalam bidang tertentu seperti kejatuhan 19 tempat kepada 35 dalam subfaktor ekonomi domestik dan penurunan 17 tempat kepada ke-53 dalam produktiviti dan kecekapan.

Walaupun penurunan keseluruhan, Malaysia menduduki tempat kedua dalam sub faktor harga dan ke-11 dalam dasar cukai, walaupun kedua-duanya turun satu anak tangga daripada tahun lalu.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz penurunan itu disebabkan kejatuhan dalam eksport komunikasi elektronik berikutan permintaan global yang lebih rendah dan peningkatan persaingan global untuk produk komunikasi elektronik tahun lalu.

Mengulas lanjut, William berkata, penurunan mendadak dalam dua subfaktor lain di bawah kecekapan perniagaan dalam amalan pengurusan dan (sikap dan nilai) mencerminkan cabaran peralihan yang dihadapi oleh perniagaan tempatan.

“Ini menjadi panggilan mendesak untuk mendapatkan bantuan daripada komuniti perniagaan. Pada 2023 telah menyaksikan peningkatan pesat dalam keperluan pematuhan perniagaan termasuk dalam bidang seperti amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), data raya serta dan lembaga korporat menyebabkan ramai responden menunjukkan keletihan serta kebimbangan mereka bagi memenuhi keperluan pematuhan yang semakin mencengkam ini.

“Terdapat sikap negatif yang ketara dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap globalisasi, jenama dan budaya asing. sistem penilaian dan transformasi digital yang menyebabkan penurunan lagi enam anak tangga kepada tempat ke-40 dalam petunjuk (sikap dan nilai) yang sebelum ini berada di tempat ke-34 pada 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN