Jumlah perdagangan perkhidmatan sumbang 23.8% kepada KDNK - Utusan Malaysia

Jumlah perdagangan perkhidmatan sumbang 23.8% kepada KDNK

ekonomi
Pelabur asing terus menyokong pasaran saham Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah perdagangan perkhidmatan Malaysia merekodkan RM433.2 bilion pada 2023, menyumbang 23.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada harga semasa, menurut Jabatan Perangkaan.

Defisit dalam perdagangan perkhidmatan bertambah baik dengan defisit yang lebih rendah kepada RM43.2 bilion berbanding RM58.2 bilion pada 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, defisit yang lebih rendah dalam perdagangan perkhidmatan Malaysia telah melepasi tahap pandemik, RM47.2 bilion
pada 2020.

“Eksport perkhidmatan berkembang sebanyak 37.9 peratus kepada RM195 bilion berbanding RM141.1 bilion pada 2022.

“Sementara itu, import perkhidmatan meningkat sebanyak 19.3 peratus kepada RM238.2 bilion berbanding RM199.6 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perjalanan, yang merupakan penyumbang utama kepada perdagangan perkhidmatan masih dalam proses pemulihan untuk mencapai tahap sebelum pandemik.

Ujarnya, perjalanan pada 2023 mencatatkan lebihan sebanyak RM17.1 bilion selepas merekodkan defisit selama tiga tahun berturut-turut, disokong oleh perbelanjaan yang tinggi daripada pelancong asing di Malaysia.

“Eksport perjalanan melonjak dengan signifikan kepada RM68 bilion pada 2023 berbanding
RM28.7 bilion pada tahun sebelumnya. Hal ini selari dengan peningkatan dalam ketibaan pelancong yang menghampiri 100 peratus iaitu daripada 10.1 juta orang pada tahun sebelumnya kepada 20.1 juta orang,” ujarnya.

Tambah beliau, Singapura merupakan destinasi utama bagi eksport perkhidmatan Malaysia
dengan nilai RM55.3 bilion berbanding RM37.5 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya daripada perjalanan, perkhidmatan perniagaan lain dan pengangkutan.

“Amerika Syarikat (USA) merupakan negara kedua bagi destinasi eksport tertinggi dengan mencatatkan RM36.6 bilion, diikuti China dengan RM12.9 bilion.

“Pada masa sama, USA merupakan negara utama untuk import perkhidmatan dengan nilai sebanyak RM76.1 bilion pada 2023, terutamanya daripada perjalanan, perkhidmatan perniagaan lain dan pengangkutan.

“Ini diikuti oleh Singapura dengan nilai RM41.3 bilion dan United Kingdom dengan RM13.3 bilion,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya