PETALING JAYA: Jumlah jualan sarung tangan dijangka bertambah baik tahun ini dipacu oleh pemulihan permintaan secara beransur-ansur, kata Public Investment Bank (Publicinvest).
Menurutnya bank pelaburan, keputusan terkini daripada entiti sektor sarung tangan di bawah liputan mereka menunjukkan peningkatan berurutan dan menunjukkan momentum operasi yang positif terutamanya didorong oleh peningkatan jumlah jualan.
“Terdapat peningkatan dalam jumlah jualan keseluruhan yang menghasilkan keputusan suku tahun ke suku tahun yang lebih tinggi.
“Jumlah jualan Hartalega meningkat sebanyak 24 peratus, manakala jumlah jualan keseluruhan Top Glove pula sebanyak 13 peratus,” katanya.
Publicinvest berkata, pengeluar sarung tangan Malaysia telah melaporkan peningkatan kadar penggunaan pada suku baru-baru ini selaras dengan jumlah jualan yang lebih tinggi.
“Kadar penggunaan Hartalega meningkat kepada 73 peratus berbanding 43 peratus pada suku sebelumnya.
“Top Glove dan Kossan pula beroperasi pada kadar penggunaan 50 peratus yang menandakan peningkatan sebanyak 25 peratus dari tahun ke tahun.
“Kami percaya inisiatif penyahtauliahan kilang ini akan meningkatkan kadar penggunaan keseluruhan melalui pengoptimuman kos yang lebih baik, menghasilkan margin yang lebih baik dan kos operasi yang lebih rendah,” katanya,
Tambah firma itu, harga bahan mentah, termasuk nitril butadiena dan lateks asli yang merupakan 30 peratus daripada jumlah kos pengeluaran telah berada dalam aliran menaik sejak Januari 2024.
“Kami menjangkakan ini akan memampatkan margin operasi untuk pengeluar sarung tangan Malaysia dalam separuh pertama tahun ini.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan ia kembali normal pada separuh kedua 2024,” katanya. – UTUSAN