Jualan Proton meningkat 13.6 peratus pada Mei lalu - Utusan Malaysia

Jualan Proton meningkat 13.6 peratus pada Mei lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta Nasional, Proton mengekalkan momentum jualan bulanan yang positif apabila mencatatkan jualan 12,522 unit (domestik dan import) pada Mei lalu, meningkat 13.6 peratus daripada bulan sebelumnya.

Jualan untuk lima bulan pertama tahun ini berada pada 62,697 unit sekali gus mengukuhkan kedudukan tempat kedua dalam keseluruhan jualan automotif nasional dengan pegangan pasaran dianggarkan pada 19 peratus.

Pertumbuhan jualan yang didaftarkan oleh Proton pada Mei adalah selaras dengan trend jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan meningkat sebanyak 20.7 peratus kepada kira-kira 70,000 unit pada bulan tersebut.

Secara kumulatif, angka tahun sehingga kini (YTD) untuk TIV dianggarkan pada 330,236 unit, bersamaan dengan peningkatan 8.8 peratus berbanding 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, berikutan jualan yang perlahan pada April akibat cuti perayaan, Mei telah menunjukkan pertumbuhan positif dengan peningkatan TIV tahun ke tahun dan bulan ke bulan, mencerminkan daya tahan industri automotif tempatan.

“TIV kumulatif sehingga Mei sudah mencapai 44.6 peratus daripada unjuran setahun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 740,000 unit. Kami percaya masih ada ruang untuk pertumbuhan dalam industri automotif tempatan.

“Memasuki separuh kedua 2024, Proton akan fokus pada peningkatan jualan melalui kemas kini model sedia ada, sambil mengambil langkah pertama dengan memasuki pasaran kenderaan elektrik (EV),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Roslan, sejak Februari tahun ini, model eksport paling laris adalah Proton Saga, sekali lagi mendahului model yang lain dengan 360 unit dieksport pada Mei.

Ujarnya, jualan Proton Saga meningkat 21.6 peratus kepada 6,119 unit di Mei membawa jualan tahun sehingga kini meningkat sebanyak lapan peratus ke 29,397 unit, kerana ia kekal menjadi produk yang menarik kepada pembeli kereta Malaysia.

“Kebanyakan model juga mencatatkan peningkatan jualan eksport, menjadikan jualan eksport kumulatif kepada 1,344 unit sejak Januari tahun ini berbanding 820 unit untuk tempoh masa yang sama pada 2023. Ini bersamaan dengan peningkatan 63.9 peratus dalam jualan eksport YTD.

“Proton X90 dan Proton S70 mengakhiri Mei sebagai peneraju jualan segmen dengan sistem hibrid sederhana yang meningkatkan prestasi dan kecekapan bahan api. SUV utama syarikat, Proton X90, merampas kembali gelaran SUV segmen-D paling popular di Malaysia dengan 364 unit terjual,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, peneraju pasaran Proton yang lain pada bulan itu ialah sedan segmen C, Proton S70.

“Jualannya meningkat 23 peratus kepada 2,011 unit daripada 1,635 unit pada April, dan jualan kumulatif untuk lima bulan pertama 2024 kini berjumlah 9,474 unit.

“Bagi model Proton yang lain, jualan untuk Proton X70 mencapai 523 unit manakala sedan segmen-B, Proton Persona mencapai 1,645 unit, menjadikan jumlah YTD sebanyak 8,444 unit.

“Sementara itu, hatchback segmen-B, Proton Iriz, menambah 452 unit kepada volum jualan Mei, menjadikan jumlah jualan sehingga kini 2,410 unit. Akhirnya, SUV segmen-B yang memenangi anugerah kegemaran Malaysia, Proton X50, mencapai jualan sebanyak 1,407 unit pada Mei,” katanya.

Roslan menambah, permintaan dijangka meningkat berikutan pelancaran model Proton X50 2024 diperbaharui pada 4 Jun lalu yang memperkenalkan beberapa siri peningkatan dan memberikan pengalaman yang lebih berteknologi maju serta diperhalusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya