Johor Plantations jangka kumpul RM2.1 bilion IPO, terbesar setakat tahun ini - Utusan Malaysia

Johor Plantations jangka kumpul RM2.1 bilion IPO, terbesar setakat tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Plantations Group Bhd. (JPG) dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM2.1 bilion selepas penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 9 Julai ini, sekali gus menjadikan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar setakat tahun ini.

Pengarah Urusan JPG, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, JPG menyasarkan untuk mengumpul RM735 juta daripada penyenaraiannya itu dengan jumlah hasil yang diraih daripada IPO sebanyak RM389.8 juta melalui terbitan awam 464 juta saham biasa baharu.

“Selain itu, sebanyak RM345.2 juta akan diperoleh melalui tawaran untuk penjualan 411 juta saham sedia ada pada harga IPO sebanyak 84 sen sesaham.

“JPG akan memperuntukkan sebanyak 50.5 peratus daripada jumlah hasil untuk pembinaan kompleks minyak sawit lestari bersepadu dan aktiviti penanaman semula.

“Selain itu, 43 peratus disalurkan untuk membayar balik pinjaman bank dan 1.7 peratus untuk modal kerja, manakala baki daripada itu akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian, katanya.

Jelas beliau, JPG telah berkembang daripada permulaan yang sederhana kepada kehadiran yang ketara dalam industri minyak sawit sepanjang tahun.

“Memandangkan JPG terus memenuhi keperluan pihak berkepentingan, kami mempunyai beberapa inisiatif dalam perancangan yang direka untuk meningkatkan daya saing.

“Ini adalah fokus kepada meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan berkembang melalui perniagaan hiliran serta berhasrat untuk mempelbagaikan perniagaan bagi memenuhi aspirasi pertumbuhan masa hadapan.

“Ia termasuk menjadi pengeluar minyak sawit bersepadu sepenuhnya melalui usaha kami ke dalam segmen hiliran yang memberi tumpuan kepada minyak dan lemak khusus.

“IPO adalah langkah strategik yang membuka potensi penuh kami dan memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan,” katanya.

Katanya, JPG ketika ini berada dalam fasa pertama untuk bergerak ke arah perniagaan segmen hiliran melalui projek usaha sama dengan Fuji Oil Asia Pte Ltd.

“Melalui segmen hiliran, separuh daripada bahan mentah yang dihasilkan JPG akan dipindahkan ke kilang penapisan yang dicadangkan melalui pembinaan kompleks minyak sawit lestari bersepadu.

“Segmen itu dijangka menyumbang sekitar 10 hingga 20 peratus kepada keuntungan kumpulan bergantung kepada margin yang akan diperoleh.

“Pada asasnya, projek hiliran dijangka akan sedia sepenuhnya pada 2026. Justeru, pendapatan dan keuntungan segmen hiliran akan dapat direalisasikan pada tahun kewangan 2027,” katanya.

Tambahnya, kompleks minyak sawit lestari bersepadu akan mempunyai kemudahan huluan dan hiliran serta dijangka membabitkan pelaburan sebanyak RM500 juta.

“Langkah-langkah ini akan membawa kepada sumbangan pendapatan yang lebih kukuh kepada kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN