Inflasi meningkat kepada 2.0 peratus pada Mei - Utusan Malaysia

Inflasi meningkat kepada 2.0 peratus pada Mei

INFLASI di Malaysia meningkat kepada 2.0 peratus bulan lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi di negara ini meningkat 2.0 peratus pada Mei 2024 berbanding 1.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Ini berikutan mata indeks mencatatkan 132.8 berbanding 130.2 pada bulan yang sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut didorong oleh kenaikan bagi kumpulan utama, antaranya perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 3.2 peratus berbanding 3.0 peratus pada April lalu.

“Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh subkumpulan bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan rumah kediaman iaitu 32.1 peratus (April 2024: 31.6 peratus).

“Ini seiring dengan kenaikan kadar tarif bagi bekalan air untuk pengguna domestik di Perak bermula Mei 2024. Manakala, inflasi Restoran dan Perkhidmatan Penginapan meningkat kepada 3.2 peratus (April 2024: 3.5 peratus) disumbangkan oleh peningkatan subkumpulan utama Perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.1 peratus (April 2024: 3.9 peratus),” katanya.

Berhubung inflasi di peringkat negeri, Mohd. Uzir berkata, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus, namun empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3 peratus), Sarawak (2.8 peratus), Pahang (2.6 peratus) dan Selangor (2.4 peratus).

“Semua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 3.4 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (2.7 peratus), Perlis (2.0 peratus), Sarawak (1.9 peratus), Pahang (1.8 peratus) dan Putrajaya (1.8 peratus).

“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman nasional iaitu 1.8 peratus pada Mei 2024,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, inflasi bagi penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan meningkat 3.0 peratus berbanding 3.1 peratus pada April 2024.

Katanya, kenaikan tersebut disumbangkan oleh peningkatan bagi kelas perbelanjaan barang kemas dan jam tangan iaitu 16.5 peratus (April 2024: 17.0 peratus).

“Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan peningkatan perlahan 1.8 peratus (April 2024: 2.0 peratus).

“Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat secara marginal kepada 0.5 peratus pada Mei 2024,” katanya.

Katanya, bagi kelas perbelanjaan sayur-sayuran merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 4.8 peratus berbanding 3.2 peratus pada April 2024.

“Inflasi bagi kelas perbelanjaan daging pula merekod penurunan negatif 0.3 peratus.

“Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6 peratus dalam kelas perbelanjaan daging masih berada dalam jajaran negatif iaitu negatif 0.8 peratus.

“Selain itu, subkumpulan utama makanan di luar rumah meningkat lebih rendah sebanyak 3.4 peratus berbanding 4.0 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN