Hibiscus rancang ambil alih sepenuhnya TotalEnergies Brunei - Utusan Malaysia

Hibiscus rancang ambil alih sepenuhnya TotalEnergies Brunei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hibiscus Petroleum Bhd. (Hibiscus Petroleum) bercadang untuk pengambilalihan 100 peratus kepentingan dalam TotalEnergies EP (Brunei) B.V. (TotalEnergies Brunei) berjumlah RM1.2 bilion.

Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum, Dr. Kenneth Pereira berkata, cadangan pengambilalihan itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Simpor Hibiscus Sdn. Bhd.

Menurutnya, anak syarikat Hibiscus Petroleum itu memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) bersyarat dengan TotalEnergies Holdings International B.V. (TotalEnergies).

“Cadangan pengambilalihan ini adalah untuk kepentingan kendalian TotalEnergies Brunei sebanyak 37.5 peratus dalam kawasan Maharajalela Jamalulalam (MLJ), aset gas berkualiti tinggi yang terletak di luar pesisir Brunei.

“Aset berkenaan mempunyai hak pengeluaran jangka panjang sehingga 15 tahun iaitu bakal tamat pada 23 November 2039, jika dilanjutkan dengan persetujuan pihak usaha sama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, aset itu juga dijangka menambah secara bersih sehingga 21.7 juta tong kepada rizab petroleum (2P) kumpulan.

Dalam masa yang sama, katanya, berlaku peningkatan peningkatan sebanyak 36 peratus daripada 60.9 juta tong kepada 82.6 juta tong pada 1 Januari 2024.

“Jumlah pengeluaran bersih harian minyak, kondensat dan gas dijangka akan meningkat sekitar 7,865 tong sehari daripada 21,398 tong sehari kepada 29,263 tong sehari pada tahun ini.

“Ia dijangka membawa bahagian pengeluaran gas portfolio kumpulan kepada hampir 50 peratus sejajar dengan strategi peralihan tenaga kumpulan untuk memperoleh aset berwajaran gas dalam bidang kuasa kawal selia yang stabil.

“Justeru, urus niaga ini adalah satu langkah penting ke arah memenuhi aspirasi kumpulan untuk menjadi pengeluar pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Jelas Kenneth, pihaknya telah mencari peluang yang sesuai untuk memasuki industri tenaga Brunei sejak sekian lama.

Beliau berkata, jumlah tambahan daripada urus niaga itu adalah penting kerana memberikan peningkatan hampir 86 peratus kepada pengeluaran gas.

“Peningkatan pengeluaran gas membawa syarikat itu mencapai Misi 2026 untuk mengembangkan pengeluaran bersih kumpulan kepada 35,000 hingga 50,000 tong sehari,” katanya.

Kakitangan TotalEnergies Brunei yang mengendalikan aset itu dengan selamat dan cekap selama bertahun-tahun akan menyertai kumpulan sebagai sebahagian daripada transaksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya