Hasil eksport sarung tangan getah Malaysia dijangka capai pertumbuhan dua digit - Utusan Malaysia

Hasil eksport sarung tangan getah Malaysia dijangka capai pertumbuhan dua digit

24 - Majlis Pelancaran & Menandatangani 11 tahun International Rubber Glove Conference and Exhibition (IRGCE) 2024 oleh Presiden MARGMA, Oon Kim Hung (dari kanan, empat hadapan) yang disaksikan oleh (dua dari kiri, belakang) Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi Majlis Getah Malaysia (MRC), YBhg. Dato' Sri Mohamad Suparadi Md Noor di Hotel One World hari ini. - UTUSAN/ M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi optimis hasil eksport sarung tangan getah Malaysia mampu meraih pertumbuhan dua digit tahun ini.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, tahun lepas, Malaysia mengeksport sarung tangan getah bernilai lebih RM11 bilion.

“Ia disumbangkan oleh 86 peratus daripada jumlah eksport produk susu getah dan 58 peratus daripada jumlah eksport produk getah.

“Pada era selepas pandemik Covid-19, kita telah melihat pertumbuhan kira-kira 12 peratus hingga 15 peratus permintaan setiap tahun dan saya percaya kita boleh mencapai pertumbuhan dua digit tahun ini,” katanya selepas pra-pelancaran Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) ke-11.

Malaysia merupakan peneraju global bagi industri sarung tangan getah global dan mencatatkan pendapatan eksport sarung tangan getah sebanyak RM3.3 bilion pada suku pertama 2024.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Oon Kim Hung berkata, industri sarung tangan getah telah menunjukkan daya tahan dan fleksibiliti luar biasa dalam menghadapi keadaan global yang mencabar.

“Di sebalik penurunan yang berlaku pada 2023 apabila permintaan terhadap sarung tangan getah merosot ketara berikutan lebihan stok simpanan dan penyusutan ketara harga jualan, kalangan penggiat kita di Malaysia kekal gigih dalam perniagaan dan terus memajukan industri ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MARGMA kini sedang meneroka penubuhan piawaian industri untuk sarung tangan getah buatan Malaysia dan melaksanakan inisiatif ‘Malaysia Sustainable Natural Rubber’, termasuk ‘Green Gloves’ dan pilihan mesra alam yang lain.

“Persatuan percaya kerjasama dengan pihak berkepentingan dan penggunaan teknologi dengan Internet Kebendaan (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dapat membuka jalan untuk meningkatkan rantaian bekalan.

“Usaha-usaha ini menekankan komitmen kami terhadap amalan lestari dan pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, IRGCE ke-11 2024 bakal diadakan dari 3 September sehingga 5 September 2024.

Kim Hung berkata, seramai 171 pempamer dari 17 negara akan turut serta dan menjangkakan seramai 12,000 pengunjung bakal hadir berbanding 11,000 pengunjung tahun lalu.

Tambahnya, edisi ke-11 bertemakan “Ke Arah Industri Sarung Tangan Getah yang Berkesan, Lestari, dan Inovatif” akan menjadi platform penting untuk inovasi dan kerjasama industri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN