PETALING JAYA: Harga minyak mentah Brent perlu berlegar sekitar AS$86 (RM404) setong menjelang separuh kedua 2024 untuk memenuhi unjuran purata AS$85 (RM399.3) setong pada 2024, kata BMI.
BMI berkata, harga minyak mentah berada pada AS$83.5 (392.3) setong dari awal tahun sehingga sehingga kini.
Firma juga mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent tahunan sebanyak AS$82 (RM385.3) setong menjelang 2025.
“Berikutan ini, imbangan risiko kepada unjuran kami adalah arah penurunan. Bagaimanapun, kami memilih untuk tidak menyemak semula unjuran kami buat masa ini.
“Sebaliknya menunggu dan melihat bagaimana harga akan bereaksi menjelang musim permintaan puncak yang akan datang di hemisfera utara,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
BMI berkata, peniaga minyak melihat pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mampu menyokong pertumbuhan ekonomi serta permintaan minyak dan ia sepatutnya memacu Brent.
“Fed AS mungkin akan mengurangkan penanda aras rizabnya kepada 4.75 peratus pada hujung tahun ini daripada 5.50 peratus sebelumnya.
“Selain itu, harga Brent telah menjejaki dengan teliti keluaran data ekonomi frekuensi tinggi sejak 18 bulan lepas dengan keluaran yang melebihi jangkaan konsensus bertepatan dengan kenaikan harga minyak dan sebaliknya,” ujarnya.
Tambahnya, risiko geopolitik kekal tinggi (dan tiada satu pun) daripada konflik semasa akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat dengan menunjukkan kepada risiko yang berterusan (jika tahap rendah dan sporadis) akan memberi kesan ke atas harga minyak.
“Dolar AS mampu memberikan sokongan kepada Brent. Kami meramalkan indeks dolar AS (DXY) kekal dalam jajaran antara 100 dan 108 tahun ini berbanding 104 semasa.
“Pertumbuhan ekonomi AS yang perlahan termasuk pengurangan kadar faedah yang lebih cepat daripada jangkaan akan memberi tekanan kepada dolar AS.
“Tetapi, persaingan dalam pemilihan Presiden AS akan meningkatkan risiko geopolitik dan secara amnya keadaan menjadi lebih mencabar untuk aset berisiko dalam separuh kedua mampu mendorong dolar AS ke atas, seterusnya, menaikkan harga minyak,” katanya. – UTUSAN