Green Guardian Centre pupuk generasi muda peka tenaga - Utusan Malaysia

Green Guardian Centre pupuk generasi muda peka tenaga

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir melancarkan program Kesedaran dan Peka Tenaga di Green Guardian Centre, Pusat Sains Negara hari ini. - UTUSAN/M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Green Guardian Centre di bawah Program Celik Tenaga Malaysia (MELP) menyasarkan untuk menggalakkan generasi muda, terutama pelajar sekolah memahami dan menggunakan tenaga secara bijak, sekali gus mendukung Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ini merupakan salah satu inisiatif Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia.

“Petra telah menjadikan MELP yang diasaskan oleh TNB pada hujung 2020 sebagai agenda nasional dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan bagi membangunkan tamadun masyarakat yang peka tenaga.

“Tahun ini, kami bersepakat untuk mengemudi program MELP secara bersepadu, dan program yang disusun akan menjadi lebih menyeluruh.

“MELP menyediakan akses kepada pengetahuan dan maklumatmengenai tenaga, memandu pembuat keputusan dan meraih sokongan umum dalam memacu kemampanan tenaga,” katanya selepas Program Kesedaran dan Peka Tenaga, di Green Guardian, Pusat Sains Negara, semalam.

Akmal Nasrullah berkata, Green Guardian Centre mempunyai pelbagai produk pandang dengar (audio visual) sebagai bahan pendidikan dipersembahkan dalam bentuk mudah difahami yang sesuai dengan generasi muda itu.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya, apatah lagi anak-anak ini bakal mewarisi kehidupan yang kita rencanakan pada hari ini.

“Kita berharap agar ibu bapa, pihak sekolah dan guru-guru memanfaatkan peluang menimba pengetahuan melalui paparan dan pendekatan yang menarik ini,” katanya.

Selain itu, katanya, Petra sedang mempertimbangkan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Pendidikan bagi mendidik generasi muda tentang penjimatan tenaga melalui MELP.

“Pada skala yang lebih besar, kami merancang untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Pendidikan bagi melihat cara-cara yang boleh kami bantu dalam memudahkan pemahaman tentang penjimatan tenaga dalam kalangan generasi muda.

“Namun, kami sedar bahawa Kementerian Pendidikan mempunyai inisiatif lain yang perlu mereka laksanakan jadi kami akan mencari pendekatan lain untuk meningkatkan kesedaran, antaranya lawatan sekolah ke Pusat Sains Negara,” katanya

Sementara itu, Ketua Pegawai TNB Global Business Solutions (TGBS), Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim berkata,sebanyak 46 program telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu di bawah TNB dengan melibatkan agensi kerajaan, persatuan pengguna, kontraktor,pelajar institusi pengajian tinggi serta murid sekolah yang memberikan maklum balas positif.

“Kaji selidik pada setiap program menunjukkan ada peningkatan tahap kesedaran rakyat terhadap kepentingan tenaga dan kepekaan mereka boleh menyumbang kepada kejayaan NETR, seiring sasaran negara neutral karbon menjelang 2050.

“Kami di TNB berusaha mempercepatkan peralihan tenaga secara bertanggungjawab dalam menuju sifar bersih tersebut, dengan menetapkan pengurangan 35 peratus intensiti pelepasan karbon dan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya