FDI Malaysia susut kepada RM40.4 bilion pada 2023 - Utusan Malaysia

FDI Malaysia susut kepada RM40.4 bilion pada 2023

PELABURAN langsung asing Malaysia susut pada 2023. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM40.4 bilion, susut berbanding RM75.4 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Penurunan dilihat terutamanya dalam ekuiti dan dana pelaburan saham, mencerminkan ekonomi global yang perlahan.

Sementara itu, pelaburan di luar negeri (DIA) turut mencatatkan penurunan kepada RM40.6 bilion daripada RM62.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ia selaras dengan laporan Pemantauan Trend Pelaburan Global UNCTAD 2024 yang menekankan bahawa aliran FDI ke negara-negara membangun menurun kira-kira 9.0 peratus, berjumlah AS$841 bilion
pada tahun lepas.

“Khususnya, rantau Asia yang sedang membangun menurun sekitar 12 peratus kepada AS$584 bilion, dengan FDI ASEAN menurun kira-kira 16 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, nilai kumulatif pelaburan langsung asing, yang juga dikenali sebagai kedudukan FDI meningkat kepada RM926 bilion pada akhir 2023, menyumbang 50.8 peratus (2022: 49 peratus) daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), terutamanya disebabkan oleh kategori-kategori bukan transaksi.

Sementara itu, kedudukan DIA meningkat kepada RM664.4 bilion, mewakili 36.4 peratus (2022: 33.8 peratus) daripada KDNK.

“Melihat kepada taburan sektor, perkhidmatan muncul sebagai penerima utama FDI, dengan aliran masuk bersih RM35.4 bilion, memintas sektor pembuatan.

“Dalam Perkhidmatan, Informasi dan komunikasi menyumbang peratusan tertinggi selaras dengan pertumbuhan aktiviti berkaitan perniagaan digital global dan pusat data, diikuti oleh subsektor kewangan dan insurans atau takaful.

“Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada keseluruhan pendapatan meskipun aliran masuk bersih lebih rendah, dengan menjana RM41.9 bilion, terutamanya disokong oleh subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan subsektor pembuatan lain,” ujarnya.

Secara kumulatif, kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan memegang nilai signifikan dalam komponen kedudukan masing-masing pada RM468.2 bilion dan RM391.3 bilion.

Dari segi geografi, rantau Asia kekal sebagai sumber utama FDI, menyumbang RM54.3 bilion pada 2023 dengan nilai kedudukan RM508.4 bilion.

Pelabur-pelabur utama dari rantau ini adalah termasuk Singapura, Hong Kong dan Jepun. Rantau Amerika, terutamanya Amerika Syarikat, menjana pendapatan tertinggi dari FDI, dengan jumlah RM41.4 bilion.

Dari segi rantau, Asia kekal sebagai destinasi utama aliran DIA bagi 2023 dengan nilai sebanyak RM29.9 bilion, terutamanya ke Singapura dan Indonesia.

Pendapatan tertinggi turut dijana oleh Asia iaitu berjumlah RM24 bilion terutamanya dari Singapura, Indonesia dan Vietnam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya