PETALING JAYA: Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) melantik Nur Fatihah Mustafa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu berkuat kuasa 4 Jun 2024, sekali gus menjadi wanita pertama menerajui syarikat takaful di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara dan Ketua ZTMB, Junior Cho berkata, Fatihah mempunyai rekod prestasi dalam pemahamannya yang mendalam tentang industri takaful.
“Komitmen beliau terhadap pengalaman pelanggan menjadikannya calon yang ideal untuk menerajui ZTMB dalam mencipta masa depan yang lebih cerah untuk perniagaan takaful.
“Pelantikan ini juga bukti komitmen ZTMB terhadap kepelbagaian jantina dan inklusif serta yakin beliau akan menjadi inspirasi dan memperkasakan kakitangan berprestasi tinggi lain di Zurich untuk mengisi jawatan kepimpinan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Fatihah berkata, beliau berbesar hati diberikan peluang untuk menyandang jawatan tersebut dan memainkan peranan dalam memajukan industri takaful.
“Melalui penggunaan teknologi dan pemahaman yang mendalam tentang keperluan pelanggan, kami akan memberi lebih tumpuan kepada penyampaian penyelesaian takaful inovatif yang menyumbang kepada landskap kewangan yang lebih inklusif di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Fatihah berkhidmat sebagai wakil sah untuk ZTMB dan memainkan peranan penting dalam memfokus semula pada pertumbuhan strategik, memacu penyampaian produk dan inovasi serta mencari peluang mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai peneraju pasaran takaful di Malaysia.
Fatihah memulakan kerjayanya bersama Zurich Malaysia pada tahun 2018 sebagai Ketua Perakaunan dan Pelaporan Kewangan Takaful Am (FAR) sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengawal Takaful FAR.
Pada Disember 2022, beliau telah memikul dua peranan sebagai Ketua Perancangan Strategi dan Pengurusan Prestasi untuk takaful keluarga.
Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia dan merupakan Ahli Bertauliah Certified Practising Accountant (CPA) Australia dan Institut Akauntan Malaysia (MIA). – UTUSAN