Elaun cukai pelaburan galakkan PKS tingkat kapasiti, pelaburan - Utusan Malaysia

Elaun cukai pelaburan galakkan PKS tingkat kapasiti, pelaburan

PKS antara sektor yang masih memerlukan sokongan kerajaan untuk menghadapi cabaran ekonomi pasca pandemik. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Elaun Cukai Pelaburan (ITA) yang baharu menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan kapasiti dan pelaburan dalam aktiviti bernilai tinggi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 setelah tempoh kelayakan elaun pelaburan semula mereka tamat.

Rakan Kongsi dan Ketua Cukai Tidak Langsung KPMG, Ng Sue Lynn berkata, kadar yang layak akan ditentukan menggunakan pendekatan berasaskan hasil, walaupun garis panduan penuh mengenai perkara itu masih belum dikeluarkan.

“PKS boleh memohon kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2028,” katanya dalam kenyataan.

Sue Lynn berkata, PKS boleh menikmati potongan khas sebanyak RM50,000 untuk setahun taksiran (YA) dari YA 2024 hingga YA 2027 bagi menyokong pelaksanaannya menjelang pelaksanaan e-invois yang dijangkakan tetapi belum diwartakan pada masa ini.

“Beberapa pelepasan sedia ada masih tersedia, walaupun dengan kelayakan yang diperketat termasuk rebat cukai permulaan, kadar cukai pendapatan konsesi dan elaun modal khas,” katanya.

Sue Lynn turut menekankan bahawa pinjaman mikro kredit di bawah RM50,000 dikecualikan daripada duti setem.

“Lebih-lebih lagi bagi skim geran pendigitalan yang merupakan kerjasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Menurutnya, ia menawarkan geran padanan sebanyak 50 peratus, namun dihadkan kepada RM5,000 bagi setiap entiti untuk membantu PKS dalam pendigitalan.

Beliau berkata, PKS perlu menghadiri sesi latihan, bengkel dan seminar tetap yang dianjurkan oleh pihak berkuasa cukai seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi-agensi kerajaan lain serta organisasi seperti ACCA yang menyediakan makluman kemas kini.

“Ia bertujuan memastikan PKS sentiasa mendapat kemas kini dengan keperluan percukaian terkini.

Selain itu, Sue Lynn berkata, pemilik perniagaan mestilah melawati portal LHDN untuk melihat secara menyeluruh tentang e-invois yang akan menjadi mandatori untuk semua menjelang 1 Julai 2025 memandangkan semua syarikat bersedia untuk peralihan kepada e-invois. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN