PETALING JAYA: Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) secara rasmi melancarkan Flavettes Glow di Indonesia baru-baru ini melalui anak syarikat milik penuhnya PT Duopharma Healthcare Indonesia (PT DHI).
Sebahagian daripada portfolio penjagaan kesihatan pengguna yang semakin berkembang, Flavettes ialah jenama vitamin C dewasa nombor satu di Malaysia yang diperkenalkan di Indonesia.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pihaknya berbesar hati untuk memperkenalkan Flavettes Glow Duopharma Biotech ke Indonesia.
Katanya, ini adalah sebagai respon kepada minat yang semakin meningkat dalam produk penjagaan kesihatan pengguna, berikutan peningkatan kesedaran pengguna tentang manfaat vitamin dan suplemen.
“Kami meneruskan perjalanan kami di Indonesia selepas penubuhan PT Duopharma Healthcare Indonesia pada tahun 2023, bukti keyakinan kami terhadap ekonomi terbesar Asia Tenggara.
“Selain itu, kedudukan utama kami sebagai pengeluar farmaseutikal halal adalah padanan yang hebat untuk pasaran pengguna Islam terbesar di dunia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemilihan Shop Tokopedia sebagai platform jualan tunggal untuk Flavettes Glow di Indonesia juga mencerminkan tumpuan syarikat untuk mengedarkan produk penjagaan kesihatan pengguna semata-mata melalui e-dagang.
“Ini untuk menjangkau pelanggan yang tersebar di kawasan geografi yang luas, memberikan kemudahan perkhidmatan dari pintu ke pintu sambil kos efektif.
“Flavettes Glow bukan sekadar produk yang berdiri sendiri, ia adalah sebahagian daripada rangkaian Flavettes Nutriskincare, mewakili kepakaran kami dalam pembuatan vitamin dan suplemen,” ujarnya.
Jelasnya, melalui rangkaian Flavettes Nutriskincare yang dibangunkan dengan ketelitian saintifik penuh seperti produk gred farmaseutikalnya yang lain, pihaknya menawarkan formulasi inovatif untuk keseluruhan produk.
Tambahnya, ini selaras dengan visi Duopharma Biotech iaitu ‘Menyediakan Penyelesaian Lebih Pintar untuk Kehidupan yang Lebih Sihat’ dan misinya untuk menjadi ‘Kumpulan Penjagaan Kesihatan Menyediakan Penyelesaian Berkualiti dan Inovatif Terkemuka’.
Acara pelancaran itu menyaksikan pelantikan Donita iaitu pelakon, penyanyi dan model popular sebagai duta Flavettes Glow pertama di Indonesia serta Doktor Perubatan dan Pakar Akupunktur Estetik, Dr Vivi Herlianty Mamonto, yang bercakap tentang kebaikan pengambilan vitamin dan nutrisi yang seimbang dalam kehidupan seharian. – UTUSAN