PETALING JAYA: BMW Malaysia memperkenalkan model BMW 218i Gran Coupé Final Edition, BMW X3 sDrive20i Final Edition dan BMW X3 xDrive30e Final Edition, varian istimewa untuk Gran Coupé dan dua kenderaan aktiviti sukan (SAV).
Menurut kenyataan, harga jualan yang disyorkan (cukai atas jalan dan tanpa insurans) untuk BMW 218i Gran Coupé Final Edition adalah RM223,800, BMW X3 sDrive20i Final Edition (RM311,800) dan BMW X3 xDrive30e Final Edition (RM357,800).
“Ketiga model itu dipasang secara tempatan dan mengekalkan sistem penggerak utama mereka, serta pakej M Sport yang melambangkan kedinamikan dan ciri lasak terhadap ketiga-tiga model tersebut,” katanya.
Jelasnya, BMW 218i Gran Coupé Final Edition kini diserlahkan dengan tambahan garis bayang dengan ciri tambahan dan rim aloi ringan Y-spoke M bersaiz 18-inci 553 M Bicolour.
“BMW X3 sDrive20i Final Edition dan BMW X3 xDrive30e Final Edition pula masih mengekalkan karisma off-road yang lasak dan ciri sporty BMW yang dikenali.
“Penampilan kedua model tersebut dipertingkatkan lagi dengan kehadiran garis bayang lampu M dan garis bayang berglos tinggi M dengan ciri tambahan,” katanya.
Katanya, eksklusif bagi BMW X3 xDrive30e Final Edition lebih eksklusif kerana mempunyai brek M Sport berwarna merah berglos tinggi.
Mengulas mengenai sistem bantuan pemanduan, katanya, BMW X3 sDrive20i Final Edition dan BMW X3 xDrive30e Final Edition didatangkan dengan kawalan pemanduan aktif dan fungsi berhenti dan jalan.
“BMW X3 xDrive30e Final Edition juga dilengkapi paparan kepala, serta pembantu parkir kereta Plus yang memberikannya kamera pandangan 360 darjah dan pandangan jauh 3D,” katanya.
Tambahnya, model edisi khas baharu itu boleh didapati di semua pengedar sah BMW bermula 7 Jun dan di Auto Bavaria AutoFest 2024 yang berlangsung di KL Base, Kuala Lumpur. – UTUSAN