TELUK INTAN: PR1MA Corp Malaysia, agensi perumahan mampu milik di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memulakan pembinaan pembangunan perbandaran pertamanya di Teluk Intan, Perak.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, keunikan bandar yang dibina di atas tanah seluas 140 ekar milik PR1MA itu ialah berlandaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang menggalakkan biodiversiti dan memelihara ekosistem tempatan sekali gus mengekalkan landskap semulajadi kawasan tersebut.
“Selain itu, pembangunan ini turut dilengkapi teknologi rumah pintar (smart home) selari dengan usaha KPKT untuk mewujudkan bandar pintar.
“Projek pembangunan yang diangggarkan bernilai RM511 juta ini menyediakan lebih 1,500 unit kediaman dan mempunyai kemudahan komuniti seperti taman rekreasi berpusat berhadapan tadika, dewan serba guna, lot-lot perniagaan, masjid dan medan selera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bandar PR1MA Teluk Intan di Mukim Durian Sebatang di sini semalam.
Menurut beliau, Bandar PR1MA Teluk Intan merupakan salah satu usaha untuk menyediakan 37,526 unit rumah baharu menjelang 2029 bagi menyokong agenda perumahan negara dengan harga mampu milik kepada rakyat.
Kor Ming berkata, projek lain termasuk pembaikan rumah dan menaik taraf tangki air, lampu jalan, longkang dan kolam tadahan di kawasan perumahan, dengan kos keseluruhan kira-kira RM8.7 juta.
“Ini adalah komitmen kami untuk membawa pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat,” tambahnya.
Jelas beliau, Kampung Bahagia telah dipilih oleh Jabatan Perdana Menteri untuk dijadikan sebagai Kampung Madani.
“Terdapat 11 projek yang akan dijalankan termasuk membina gerbang baharu dan menaik taraf jeti serta balai raya.
“Ini akan dilakukan serta-merta dan siap menjelang akhir tahun in dan kos gabungan kerja-kerja tersebut adalah kira-kira RM2.5 juta,” ujarnya. – UTUSAN