Alliance lancar Cabaran BizSmart Edisi Pemecut dengan kriteria diperluas - Utusan Malaysia

Alliance lancar Cabaran BizSmart Edisi Pemecut dengan kriteria diperluas

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Pengiktirafan Usahawan Alumni Cabaran Bizmart pada pelancaran siri baru Alliance Bank BizSmart Challenge Accelator Edition. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) melancarkan Cabaran BizSmart Edisi Pemecut dengan kriteria kelayakan diperluaskan untuk membolehkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertainya bagi merebut peluang mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih pantas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, Cabaran BizSmart siri ketujuh itu diperluas untuk menerima penyertaan daripada PKS yang beroperasi selama satu hingga 10 tahun dengan perolehan jualan tahunan sebanyak RM500,000 hingga RM40 juta.

“Buat pertama kali dalam sejarah, Cabaran BizSmart memberi peluang kepada 30 finalis untuk mempersembahkan pelan perniagaan dan idea mereka kepada para pelabur modal teroka daripada 1337 Ventures dan 5X Capital,” katanya ketika Majlis Pelancaran Cabaran BizSmart Edisi Pemecut, di sini semalam.

Menurutnya, peluang itu penting kepada para usahawan menarik perhatian pelabur, sekali gus mendapat rakan niaga jangka panjang serta dana pelaburan.

“Para finalis perlu menambat hati para hakim yang akan memilih 10 perniagaan teratas untuk memasuki pusingan kedua persembahan perniagaan,” katanya.

Selain itu, 10 perniagaan itu turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai, bimbingan perniagaan, pendedahan jenama dan latihan perniagaan bernilai sehingga RM2 juta selain keutamaan pembiayaan sehingga RM20 juta dari Alliance Bank.

Beliau berkata, pelancaran itu menekankan komitmen Alliance Bank untuk mengembangkan perniagaan menerusi inisiatif inovatif yang menawarkan sokongan melalui penyelesaian perbankan dan bukan perbankan yang relevan dan dinamik.

“Dalam usaha kami menjadi The Bank For Life bagi para pelanggan, kami mahu membantu perniagaan berjaya pada setiap peringkat kitaran hayat dengan menawarkan penyelesaian yang berbeza kepada perniagaan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertumbuhan pinjaman Alliance Bank, beliau berkata, bank itu menjangkakan pertumbuhan yang sihat tahun ini.

“Kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman sebanyak lapan peratus hingga 10 peratus bagi tahun ke tahun,” katanya.

Tambahnya, pertumbuhan itu akan merangkumi semua segmen termasuk pasaran PKS, korporat serta perniagaan pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya