KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 peratus pekerja dalam ekonomi gig e-panggilan di negara ini mahu menjadikan kerjaya tersebut bagi tempoh jangka panjang.
Kajian itu berdasarkan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (Malaysian Centre for 4IR) dalam kertas putih yang bertajuk ‘Apa pekerja gig mahukan’.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation dan Ketua Malaysia center4ir, Fabian Bigar berkata, kajian itu melibatkan kerjasama Pakar Penyelidikan Pasaran Global dan Pendapat Awam (IPSOS) serta Forum Ekonomi Dunia.
“Kajian ini melibatkan 1,500 pekerja gig di negara mengambil faktor demografi, pendapatan dan sebagainya.
“Dalam kertas ini juga turut menyentuh mengenai pekerja gig menghargai fleksibiliti, kebolehcapaian dan pendapatan tambahan,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun Pertama Revolusi Industri Keempat Malaysia di sini.
Dalam pada itu, ujarnya, individu yang tertarik kepada semua jenis kerja gig, sama ada berasaskan platform atau bukan platform.
“Hal ini disebabkan oleh peluang pendapatan tambahan yang fleksibel dan boleh diakses yang mereka tawarkan,” katanya.
Menerusi kajian itu, kertas putih turut menyatakan hampir 80 peratus pekerja gig berusia 25 tahun ke atas, dengan segmen yang besar berada dalam kumpulan umur 25 hingga 34 tahun.
“Sebanyak 60 peratus pekerja gig memiliki diploma atau kelayakan yang lebih tinggi.
“Menariknya, 70 peratus pekerja gig terlibat dalam kerja sambilan dan menyumbang purata 37 peratus kepada jumlah pendapatan mereka, ini menunjukkan ia berfungsi sebagai sumber pendapatan tambahan dan bukannya sumber utama,” katanya.
Kertas putih tersebut memberikan pandangan dan panduan yang tidak ternilai untuk pembuat dasar dan penyedia platform untuk mengoptimumkan peluang dalam ekonomi gig serta menangani cabarannya. – UTUSAN