KUALA LUMPUR: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bekerjasama dengan Eq8 Capital Sdn. Bhd. (Eq8) untuk menerbitkan dana dagangan bursa berciri wakaf (Waqf ETF) yang pertama di dunia.
Kerjasama ini bagi memperluas pelbagai produk wakaf yang inovatif dan capaian masyarakat untuk berwakaf hingga ke peringkat antarabangsa, selaras dengan matlamat penubuhannya.
Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar berkata, Waqf ETF merupakan produk pelaburan dana unit amanah Islam dengan elemen wakaf.
“Sebanyak 50 peratus daripada pendapatan yang dijana daripada pelaburan akan disumbangkan oleh pelabur sebagai wakaf dan bakinya akan disalurkan kepada pelabur sebagai keuntungan pelaburan.
“Menerusi kerjasama ini, YWM dinamakan sebagai institusi wakaf yang berperanan sebagai pengurus wakaf kepada dana Waqf ETF.
“Setiap dana wakaf yang diterima oleh YWM akan diagihkan dalam pelbagai sektor antaranya kesihatan, pendidikan, sekuriti makanan dan tenaga hijau bagi membolehkan manfaatnya dinikmati lebih ramai masyarakat secara holistik,” katanya ketika majlis pengumuman kerjasama antara YWM dan Eq8 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ridzwan berkata, Waqf ETF yang dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun ini secara langsung akan memudahkan bakal pelabur untuk membuat pelaburan dalam produk ini.
Beliau berkata, produk kerjasama kali ini berbeza dengan dua produk yang telah dilancarkan oleh YWM sebelum ini, di mana bakal pelabur hanya boleh membuat pelaburan melalui pengedar-pengedar dana yang disahkan oleh Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors) sahaja.
“Sebelum ini, YWM telah menjalin kerjasama dengan Kenanga Investors dalam mewujudkan dua produk pelaburan Dana Unit Amanah Islam dengan menggunakan elemen wakaf di mana sebahagian daripada pendapatan yang dijana daripada pelaburan akan disumbangkan oleh pelabur sebagai wakaf.
“Pewujudan produk seumpama ini adalah lanjutan daripada pelancaran Rangka Kerja Dana Pilihan Wakaf oleh Suruhanjaya Sekuriti pada November 2022 serta Garis Panduan Produk dan Perkhidmatan Pasaran Modal Islam mengenai wakaf yang kini termasuk dana tersenarai seperti Amanah Pelaburan Hartanah dan dana ETF,” katanya. – UTUSAN