PETALING JAYA: Sime Darby Property Bhd. mencatatkan lonjakan untung bersih dua kali ganda kepada RM123.58 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 daripada RM60.67 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Dalam pemfailan di Bursa Malaysia, syarikat berkata, hasilnya meningkat sebanyak 42.8 peratus kepada RM978.69 juta berbanding RM685.33 juta sebelumnya, dengan semua segmen menyumbang kepada pertumbuhan hasil kumpulan.
Sime Darby Property berkata, penyumbang paling ketara ialah segmen pembangunan hartanah dengan peningkatan 45.4 peratus, diikuti segmen pelaburan dan pengurusan aset serta segmen rekreasi masing-masing pada 10.7 peratus dan 7.6 peratus.
Katanya, segmen pembangunan hartanah menyumbang 94.6 peratus atau RM925.6 juta daripada jumlah hasil kumpulan dengan pertumbuhan 45.4 peratus daripada RM636.8 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Keputusan ini didorong oleh campuran produk yang semakin pelbagai dengan sumbangan yang lebih tinggi daripada produk perindustrian, jualan yang lebih tinggi dan peningkatan aktiviti pembangunan di tapak merentasi perbandaran utama.
“Ini termasuk Bandar Bukit Raja, Serenia City, Ara Damansara, Putra Heights, SJ7 dan Elmina Business Park, ditambah pula dengan sumbangan daripada pendapatan daripada tanah di Kedah,” katanya.
Sementara itu, kumpulan berkata, segmen pelaburan dan pengurusan aset mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 10.7 peratus kepada RM29.1 juta pada suku tinjauan, terutama didorong oleh subsegmen runcit.
“Pertumbuhan dalam hasil subsegmen runcit disokong oleh peningkatan dalam kadar penghunian daripada 85 peratus kepada 90 peratus dan peningkatan jumlah pengunjung ke KL East Mall,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, prestasi suku pertama kumpulan mengatasi jangkaan kewangan dan operasi.
“Kami secara aktif mempelbagaikan produk dan aliran pendapatan kami. Pada suku ini, segmen perindustrian kami muncul sebagai penyumbang utama kepada prestasi jualan keseluruhan kami,” ujarnya.
Mengulas mengenai prospek 2024, beliau berkata, syarikat menjangkakan prospek yang menggalakkan pada tahun kewangan 2024, didorong oleh segmen perindustrian yang kukuh dan peningkatan secara umum dalam pasaran kediaman.
Katanya, kumpulan bersedia untuk pertumbuhan seterusnya dengan pelancaran dua projek penting, kediaman yang sangat dinanti-nantikan, The Ophera di KLGCC Resort, dan Elmina Lakeside Mall.
“Prestasi suku pertama kami yang kukuh menunjukkan bahawa kumpulan berada di landasan yang betul dengan strategi, perkembangan produk dan tawaran kami.
“Sime Darby Property kekal berpandukan matlamatnya untuk menjadi Pengganda Nilai untuk Manusia, Perniagaan, Ekonomi dan Planet dan kami akan mengekalkan disiplin untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pemegang kepentingan kami,” ujarnya. – UTUSAN