PETALING JAYA: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) merekodkan prestasi kukuh pada suku pertama 2024 dengan Keuntungan Selepas Zakat dan Percukaian (PAT) melonjak hampir 10 kali ganda kepada RM26.2 juta.
Pengarah Eksekutif Pharmaniaga Zulkifli Jafar berkata peningkatan PAT Pharmaniaga meningkat daripada RM2.8 juta pada tempoh sama tahun lepas, sekali gus menandakan pemulihan kewangan yang kukuh.
Menurutnya, Pendapatan Sebelum Faedah, Pencukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) Pharmaniaga turut melonjak dua kali ganda kepada RM66.5 juta daripada RM32.5 juta setahun lalu.
“Pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan permintaan pelanggan yang dialami oleh bahagian logistik dan pengedaran kumpulan serta bahagian di Indonesia.
“Prestasi ketara ini menggariskan trajektori pemulihan dan daya tahan syarikat itu di tengah-tengah landskap ekonomi yang mencabar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keadaan itu didorong oleh keupayaan operasi yang lebih baik dan langkah kawalan kos.
“Walaupun Pharmaniaga berada dalam status PN17, kumpulan kami akan terus berdaya tahan dan mampu menyampaikan keputusan pada suku pertama tahun ini dengan yang begitu ketara,” katanya.
Justeru, katanya, Pharmaniaga bersedia untuk permulaan yang lebih mengukuh pada 2024, berikutan penstrukturan semula menyeluruh operasi perniagaan dan pelaksanaan pelbagai strategi serta inisiatif di bawah pelan strategik syarikat bagi Wawasan 525.
“Syarikat kami akan kekal fokus untuk keluar daripada status PN17, dalam masa sama meningkatkan margin keuntungan syarikat.
“Selain itu, kami akan berusaha untuk langkah pengoptimuman kos bagi memastikan daya tahan dan pertumbuhan perniagaan yang mampan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pharmaniaga, Izaddeen Daud berkata, syarikat akan berusaha untuk sentiasa komited pada kecekapan operasi, pengoptimuman kos, margin dan pertumbuhan hasil.
“Dengan melalui inisiatif strategik, kami mengukuhkan asas kami untuk kejayaan jangka panjang, memastikan daya tahan dan kebolehsuaian dalam industri farmaseutikal yang sedang berkembang,” katanya. – UTUSAN