PETALING JAYA: Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd. menurun sebanyak 25 peratus kepada RM226.04 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 berbanding RM301.84 juta suku sama tahun sebelumnya, disebabkan kos produk dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.
Petronas Dagangan dalam pemfailan di Bursa Malaysia berkata, hasil untuk suku tersebut meningkat kepada RM9.39 bilion daripada RM8.65 bilion pada tahun sebelumnya, manakala pendapatan sesaham menurun kepada 22.8 sen daripada 30.4 sen.
Petronas Dagangan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 18 sen sesaham yang berjumlah RM178.82 juta untuk suku terkini.
Kumpulan itu berkata, bagi prestasinya pula, harga minyak purata berada pada AS$83.16 (RM389.03) setong pada suku pertama tahun ini dengan penurunan marginal sebanyak satu peratus berbanding suku sebelumnya pada AS$84.34 (RM394.55) setong.
Katanya, turun naik pasaran dipengaruhi oleh penurunan dalam pertumbuhan permintaan minyak, terutamanya di China pada awal suku tersebut yang diimbangi lonjakan harga akibat ketegangan yang meningkat di Timur Tengah pada awal Februari.
“Keputusan strategik Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak dan sekutunya (OPEC+) untuk melanjutkan pengurangan pengeluaran ke dalam suku kedua tahun ini mengetatkan lagi bekalan minyak,” katanya.
Mengulas mengenai prospeknya, Petronas Dagangan berkata, harga purata minyak mentah Brent dijangka pada AS$88.70 setong dalam suku kedua tahun ini, di tengah-tengah pengurangan pengeluaran OPEC+ yang berterusan.
“Bagaimanapun, peningkatan potensi dalam eksport minyak mentah Russia dijangka mengimbangi pasaran dengan meningkatkan bekalan minyak,” katanya.
Petronas Dagangan turut menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini kekal stabil disokong oleh perkembangan berterusan dalam sektor ekonomi utama seperti pembinaan, perkhidmatan, pembuatan dan pelancongan.
“Sementara itu, pasaran minyak juga dijangka kekal dinamik, dengan potensi turun naik yang dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik dan trend ekonomi global,” katanya. – UTUSAN