Teraju, YP, Ekuinas dijajar semula lonjak penyertaan berkesan bumiputera - Utusan Malaysia

Teraju, YP, Ekuinas dijajar semula lonjak penyertaan berkesan bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Tiga agensi yang bermandat bumiputera dijajarkan semula dalam usaha bagi memperkasakan lagi tahap penyertaan kaum tersebut dalam penyertaan ekonomi Malaysia.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah itu juga selaras dengan matlamat Kerajaan Madani untuk melonjakkan bumiputera agar lebih berdaya strategik, mampan dan efektif.

Ujarnya, ia melibatkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju (YP) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dengan diberikan sasaran khas perlu dicapai menjelang 2030.

“Ini juga dijayakan melalui kerjasama pintar yang inovatif antara sektor awam dan swasta,” ucap beliau berucap pada Majlis Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, inisiatif penjajaran semula ini dibentuk hasil susulan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang menggariskan peranan tiga agensi itu.

Malahan ujarnya, inisiatif tersebut dilakukan setelah diambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan melalui beberapa sesi libat urus yang sudah pun dijalankan awal tahun ini.

“Menerusi langkah ini, fungsi agensi berkenaan tidak lagi bertindih, bahkan lebih jelas demi memperkukuhkan kerjasama erat dalam misi penyampaian agenda bumiputera,” katanya.

Menurut beliau, ketiga-tiga badan itu bakal memainkan peranan yang amat khusus dalam ekosistem keusahawanan bumiputera dan bukannya sekadar sebagai pemberi skim geran.

“Sebagai contoh, YP akan fokus pembangunan 10,000 bakat bagi peningkatan kelas pencipta nilai menjelang 2030 dan bersedia bersaing menjadi pemain industri besar sementara Teraju pula bertindak sebagai pencipta skala ‘super’ yang memacu pertumbuhan syarikat bumiputera untuk kompetitif di arena global menerusi pembiayaan RM1 bilion.

“Dana pinjaman ini akan disalurkan menerusi kerjasama dengan sektor swasta yang akan meningkatkan lagi keupayaan sebanyak 1,000 syarikat tempatan berpotensi jauh,” katanya.

Tambah beliau, Ekuinas pula bakal merancakkan penciptaan kekayaan dan usaha penglibatan bumiputera melalui program baharu pemilikan ekuiti korporat, Dana Asas II.

“Agensi tersebut akan melabur RM800 juta bagi menyokong usahawan yang memiliki rekod prestasi laba cemerlang untuk mencapai kejayaan lebih besar di pasaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya