Taman Perindustrian Halal Pintar Asean mula pembinaan hujung tahun - Utusan Malaysia

Taman Perindustrian Halal Pintar Asean mula pembinaan hujung tahun

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Qew, Datuk Dr. Muhamad Iqbal Mohamad ketika ditemubual Utusan Malaysia di 3 Tower Jalan Ampang di sini hari ini. - UTUSAN/ FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Projek Taman Perindustrian Halal Pintar Asean dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.7 bilion dijangka akan memulakan pembinaan pada hujung tahun ini dan dijadualkan siap pada Jun 2026.

Terletak di Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam (FTZ), Kedah, Taman Perindustrian halal dengan kerjasama Invest Kedah bakal menjadikan negeri itu hab utama untuk inovasi dan kecemerlangan industri halal, memupuk pertumbuhan dan perdagangan antarabangsa sambil memberikan manfaat yang besar kepada komuniti tempatan dan negara secara keseluruhan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Qew, Datuk Dr. Muhamad Iqbal Mohamad berkata, hab tersebut adalah satu prospek pelaburan domestik namun melibatkan jaringan antarabangsa kerana kedudukan Kedah yang merupakan satu-satunya hab halal perindustrian yang berdekatan pintu sempadan di antara Malaysia dan Thailand.

“Setakat ini, projek ini sudah 50 peratus lengkap bagi fasa pertama sebelum memulakan pembinaan pada November ini. Oleh itu, kami menjangkakan hab halal pintar ini akan siap pada Jun 2024,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 38 industri yang terbabit dalam Taman Perindustrian Halal Pintar Asean itu merangkumi logistik (27.4 peratus), farmaseutikal (18.65 peratus) serta makanan dan minuman (19.44 peratus).

“Selain itu, di sektor perniagaan pula merangkumi 2.3 peratus, kawasan komersial (1.48 peratus), Centre of excellent atau penyelidikan dan pembangunan (2.01 peratus) serta Rehat dan Rawat (R&R) mini dan kemudahan lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Muhamad Iqbal berkata, terdapat beberapa unit dibuka untuk sewaan kepada pelabur luar manakala bagi lot komersial termasuk lot kedai dan hotel dibuka kepada pelabur tempatan.

“Ini melibatkan makanan dan minuman halal, farmaseutikal, kosmetik dan alat penjagaan diri, kandungan halal dan peranti elektrik.

“Bahagian perkhidmatan yang dibuka kepada pelabur tempatan pula termasuk halal logistik, Perbankan Islam dan takaful, penjagaan kesihatan Islam dan R&D halal,” katanya.

Jelasnya, Nilai pembangunan kasar (GDV) dengan nilai pembangunan minimum adalah sebanyak RM3.7 bilion dijangka dapat memberikan pulangan kepada pembangunan pelaburan dalam masa tiga tahun dengan nilai jualan keseluruhan sekitar RM1.3 bilion sehingga RM1.5 bilion.

“Nilai dagangan setempat adalah sebanyak RM1.5 bilion sehingga RM2 bilion setahun dengan kenaikan 15 hingga 20 peratus yang mampu memangkin pertumbuhan ekonomi halal di negeri Kedah khususnya serta di negara Malaysia,” katanya.

Selain itu, dalam menyaksikan kejayaan Digital Asean Smart Halal Industrial Park, Qew Group Berhad telah mengadakan Program FORTUNE untuk menarik lebih ramai pelabur bernilai tinggi.

“Dengan melangkaui wilayah seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, dan kini Ipoh, kami percaya kami akan menarik sejumlah besar pelabur dan mencapai RM50 juta menjelang penguhujung Jun depan.

“Pada minggu kedua bulan Jun, kami akan meliputi wilayah Pantai Timur untuk menyambut mereka yang berminat dengan Program FORTUNE,” katanya.

Jelas beliau, inisiatif ini dijangka untuk membiayai awalan projek Digital Asean Smart Halal Industrial Park. Dengan menyelaraskan strategi korporatnya dengan matlamat yang lebih luas dari Digital Asean Smart Halal Industrial Park serta menyumbang kepada pembangunan lestari industri halal serta mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya