PETALING JAYA: Sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi bantuan insentif Program Jom Jelajah Koperasi (Jejak) tahun ini melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membantu koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan.
Program JEJAK merupakan inisiatif SKM dalam membantu meningkatkan keupayaan koperasi melalui aktiviti promosi dan pemasaran produk atau perkhidmatan bagi merancakkan semula perkembangan industri tersebut yang masih terkesan akibat daripada penularan Pandemik Covid-19.
Menurutnya kenyataan, insentif itu diberikan agar koperasi terlibat dapat beroperasi pada tahap optimum dan sebagai persediaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran pelancong sebanyak 26.1 juta orang.
“Insentif ini bertujuan memastikan koperasi yang terlibat dalam industri pelancongan dapat bersaing dengan pemain industri pelancongan yang lain bagi meningkatkan pendapatan koperasi dan secara tidak langsung dapat manfaat kepada anggota koperasi,” katanya.
Selain itu, SKM menyasarkan penglibatan 160 Koperasi yang menjalankan aktiviti perniagaan di bawah industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf.
“Koperasi-koperasi ini layak menerima insentif JEJAK dengan tujuan pemberian diskaun pakej atau produk perniagaan yang disediakan sehingga 30 peratus dan mensasarkan seramai 20,000 pelancong dalam dan luar negara,” katanya.
Program Jejak 2024 telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Homestay Banghuris Sepang, Selangor.
Jualan Madani Koperasi (JMK) turut diadakan semasa pelancaran program itu dan KUSKOP melalui SKM memperuntukkan insentif harga sebanyak RM34,000 serta melantik Koperasi Jabatan Penjara Malaysia Berhad sebagai operator jualan yang akan menawarkan pelbagai jenis barangan keperluan harian asas seperti gula, tepung, minyak, susu, telur dan pelbagai lagi.
“JMK memberi peluang kepada anggota koperasi serta penduduk sekitar Sungai Pelek Sepang mendapatkan barangan dengan kadar penjimatan sehingga 20 peratus daripada harga pasaran,” katanya. – UTUSAN