Sime Darby Property jangka impak minimum rasionalisasi subsidi minyak - Utusan Malaysia

Sime Darby Property jangka impak minimum rasionalisasi subsidi minyak

sime darby
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad menjangkakan impak yang minimum daripada rasionalisasi subsidi bahan api bagi sektor hartanah kerana semua subkontraktor mereka tidak membeli minyak dari stesen minyak awam.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, subkontraktor memang tidak menerima manfaat daripada subsidi minyak sebelum ini.

“Impak secara terus mungkin adalah minimum. Walau bagaimanapun, ini adalah sesuatu yang kami sedang kaji dan mahu mengetahui lebih lanjut.

“Kami sedang menunggu butiran seterusnya dan apakah pelan yang dibuat bagi mengetahui impak kepada sektor hartanah,” katanya pada sidang media secara dalam talian berkaitan keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 di sini hari ini.

Bagi tempoh tersebut, kumpulan merekodkan hasil RM978.7 juta, iaitu 42.8 peratus lebih tinggi berbanding RM685.3 juta yang dicatatkan setahun lalu.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti pula mencapai pertumbuhan 103.7 peratus tahun ke tahun untuk mencecah RM123.6 juta.

Mengulas mengenai kesan kenaikan harga bahan pembinaan pula, Azmir berkata, pihaknya sentiasa aktif mengikuti perkembangan harga supaya dapat terus mengekalkan margin.

Katanya, adalah penting bagi syarikat untuk mempunyai pelbagai produk supaya margin tersebut dapat dikekalkan.

“Sudah tentu, kami akan merasai tekanan pada satu masa. Kos akan meningkat. Kami telah berjaya mempertahankan margin kami tetapi pada tahun 2024 anda boleh dalam unjuran kami sendiri mempunyai sedikit kesan ke atas margin,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, untuk tempoh jangka masa panjang, pihaknya akan melihat kepada cadangan untuk memperkenalkan penawaran sewa untuk beli (rent to own) bagi membantu pemilikan kediaman buat golongan yang sukar mendapatkan pembiayaan.

“Ia merupakan cadangan yang baik dan kami pernah melihat perkara ini pada masa lalu, namun ketika itu kami belum bersedia serta tidak memiliki sumber mencukupi untuk mengkaji lanjut.

“Kami akan melihat perkara ini untuk jangka masa panjang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya