PETALING JAYA: Sime Darby Plantation bakal dijenamakan semula kepada SD Guthrie selepas perkara itu diluluskan oleh para pemegang saham syarikat dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), semalam.
Dalam satu kenyataan, SD Plantation berkata, satu resolusi khas telah diluluskan dengan sewajarnya dengan sokongan yang sangat menggalakkan daripada pemegang saham, di mana 99.99 peratus mengundi menyokong cadangan itu.
Pengerusinya, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, jenama SD Guthrie adalah satu jenama yang amat bermakna dan membawa banyak kepentingan bagi syarikat sebagai sebuah organisasi.
“Sokongan padu ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan para pemegang saham kami.
“Setelah mengharungi perjalanan lebih dua abad, kami teruja untuk membuka lembaran baharu syarikat ini dengan satu jenama yang penuh bersejarah,” katanya.
Permohonan cadangan penjenamaan baharu syarikat tersebut juga telahpun dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk diluluskan dan logo baharu SD Guthrie akan diumumkan tidak lama lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan SD Plantation, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, sebagai SD Guthrie, pihaknya akan terus memacu penghasilan nilai jangka panjang bagi pihak-pihak berkepentingan.
“Beberapa peluang pertumbuhan dalam sektor-sektor berkaitan yang akan kami terokai secara aktif sebagai SD Guthrie telah dikenal pasti, selaras dengan nilai dan tujuan kami,” katanya.
Jenama SD Guthrie memberi penghormatan kepada dua jenama terkemuka dalam industri perladangan Malaysia – Kumpulan Guthrie Berhad dan Sime Darby Plantation Berhad.
Sementara itu, SD Plantation akan terus didagangkan di Bursa Malaysia sebagai Sime Darby Plantation Berhad (Kod Saham: 5285) sehingga pendaftaran dan permohonan jenama baharunya diluluskan. – UTUSAN