Sektor pembuatan dijangka kekal positif tahun ini

Sektor pembuatan dijangka kekal positif tahun ini

SEKTOR pembuatan akan didorong oleh peningkatan dalam permintaan luar dan pemulihan China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi sektor pembuatan dijangka bertambah baik pada tahun ini, kata Kenanga Investment Bank Berhad (KIBB).

Firma penyelidikan itu berpandangan, jangkaan pertumbuhan positif bagi sektor ini akan didorong oleh peningkatan selanjutnya dalam permintaan luar yang disokong oleh peningkatan sektor teknologi dan pemulihan China.

“Bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan terkini menunjukkan penstabilan pada April iaitu 49.0, menghampiri paras neutral,berbanding Mac yang mana menunjukkan 48.4. 

“Susulan itu, kami mengekalkan ramalan bagi indeks pembuatan dikekalkan pada 4.6 peratus berbanding dengan jangkaan pada 2023, iaitu 0.7 peratus.

“Oleh itu, pengembangan sederhana dalam indeks pembuatan berupaya mengimbangi sebahagian Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI),” katanya dalam nota penyelidikan. 

Malaysia mencatatkan pertumbuhan IPI yang agak perlahan pada Mac lalu iaitu 2.4 peratus tahun ke tahun berbanding dengan 3.1 peratus pada Februari, melepasi jangkaan KIBB yang meramalkan pada 1.9 peratus. 

Jelasnya, pertumbuhan yang lebih perlahan itu disebabkan oleh kelembapan dalam sektor perlombongan dan elektrik.

“Pertumbuhan bagi indeks perlombongan perlahan iaitu 4.9 peratus ke paras terendah tiga bulan disebabkan keluaran  sederhana pengekstrakan minyak mentah dan gas asli, dan penurunan dalam pengeluaran petroleum mentah yang menurun 0.7 peratus.

“Bagi indeks elektrik yang mencatatkan pertumbuhan perlahan 7.8 peratus ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan, tetapi kekal tinggi secara relatif,” katanya.

Secara keseluruhan, pertumbuhan meningkat kepada paras tertinggi sejak suku keempat tahun 2022, kerana  disokong  oleh pemulihan pembuatan.

Indeks pembuatan berkembang sedikit pada bulan Mac iaitu 1.3 peratus tahun ke tahun sekali gus mencerminkan pemulihan berterusan dalam industri berorientasikan eksport.

KIBB berkata, industri berorientasikan eksport  pulih sedikit 0.5 peratus kerana diterajui oleh pembuatan komputer, elektronik dan produk optik, diikuti oleh produk petroleum ditapis.

Sementara itu, industri berorientasikan domestik dijangka kekal teguh, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan. 

Ini didorong oleh peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancong, bersama-sama dengan keadaan pasaran buruh yang stabil. 

Katanya, industri berorientasikan domestik mencatatkan pertumbuhan  sederhana iaitu 3.1 peratus tetapi kekal disokong oleh pembuatan produk logam fabrikasi kecuali mesin dan  peralatan , diikuti oleh pembuatan produk mineral bukan logam lain.

KIBB juga mengekalkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini  3.3 peratus.

Katanya, jangkaan itu lebih rendah sedikit daripada anggaran lanjutan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi KDNK iaitu  pada 3.9 peratus. 

Katanya, secara keseluruhan ramalan pertumbuhan firma penyelidikan itu kekal pada 4.5 peratus hingga 5.0 peratus pada 2024 berbanding 3.7 peratus pada tahun 2023.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya