PETALING JAYA: Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal Ford Malaysia melancarkan Ford Ranger StormTrak edisi terhad melalui tempahan eksklusif dalam talian, dengan hanya 200 unit ditawarkan.
Pengarah Urusan, Sime Darby Auto ConneXion-FordConneXion-Ford, Turse Zuhair berkata, Ford Ranger StormTrak akan dijual bermula pada harga RM181,888 termasuk cukai jalan (OTR) tanpa insurans.
“Bagi Sabah dan Sarawak pula, ia bermula pada harga RM188,288, termasuk OTR tanpa insurans,” katanya semasa Majlis Pelancaran Ranger StormTrak edisi terhad, di sini, semalam.
Katanya, SDAC menitikberatkan keperluan pelanggannya dengan melancarkan model terhad itu.
“Ford Ranger StormTrak edisi terhad ialah kenderaan pertama sepertinya dalam pasaran pikap dan pasti menarik perhatian mereka yang mencari sebuah kenderaan dinamik untuk gaya hidup dinamik.
“Sempena pelancaran serentak tempahan dalam talian menerusi laman web, kami memastikan pelanggan di seluruh negara dapat membuat tempahan dan menikmati Ranger dan Everest mengikut kesesuaian mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Pasaran Pengedar Ford Asia Pasifik (APDM) dan Korea, David Jeffrey berkata, SDAC telah membuka tempahan dalam talian menerusi shop.sdacford.com.my yang membolehkan pelanggan menempah semua model Ranger dan Everest secara dalam talian.
Ujarnya, Ranger StormTrak dinaik taraf bermodelkan Ranger WildTrak bagi memenuhi keperluan pelbagai gaya hidup untuk mereka yang berani dan suka pengembaraan.
“Kami teruja dengan Ford Ranger StormTrak yang sesungguhnya telah merintis kemajuan penting dalam rangkaian kenderaan Ford dan membawakan lebih banyak inovasi serta reka bentuk unik yang bertumpukan pelanggan.
“Menerusi model ini, kami meluaskan rangkaian Ford dengan menempuh batasan dan meluaskan keupayaan sebuah trak pikap,” katanya. – UTUSAN