SC sasar pengumpulan dana pasaran modal PMKS, MTC RM40 bilion - Utusan Malaysia

SC sasar pengumpulan dana pasaran modal PMKS, MTC RM40 bilion

Dr Awang Adek Hussin (kiri) bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Mericandan Pngurus Ngara Bank Dunia untuk Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda sempena pelancaran Pelan Hala Tuju 5 tahun bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyasar untuk mengembangkan pengumpulan dana dalam pasaran modal perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) sebanyak tujuh kali ganda kepada RM40 bilion menjelang 2028.

Sasaran itu dibuat menerusi Pelan hala tuju ‘Memangkin Akses PMKS dan MTC kepada Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju Lima Tahun (2024-2028)’ yang dilancarkan semalam.

Peningkatan itu adalah pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 46 peratus dalam tempoh lima tahun daripada RM6.3 bilion pada 2023.

Pelan lima tahun itu dilancarkan bagi menyediakan pelan tindakan lima tahun dengan strategi silang dalam mentransformasikan pasaran modal untuk meningkatkan akses kepada PMKS (termasuk syarikat pemula niaga) dan MTC.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, pelan itu menetapkan hala tuju lebih meluas serta tindakan terperinci yang perlu diambil dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang, untuk meningkatkan akses kepada penerbit kecil dan sederhana, serta menarik pelabur untuk melabur dalam syarikat ini, sebagai kelas aset.

“Kami menggunakan lima prinsip panduan untuk menangani isu sedia ada dalam ekosistem semasa serta memanfaatkan peluang yang muncul.

“Ini berjaya menghasilkan sembilan strategi dan 36 inisiatif, termasuk meningkatkan laluan pengumpulan dana mereka dan menyediakan produk yang inovatif dan disesuaikan yang disasarkan kepada PMKS dan MTC,” katanya selepas pelancaran pelan hala tuju di sini, semalam.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata, pelan hala tuju itu selaras dengan salah satu objektif asas Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) SC, iaitu untuk mengukuhkan saluran pembiayaan berasaskan pasaran kepada firma dalam kategori berkenaan.

Katanya, pelan itu yang terhasil susulan daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan utama, adalah pelan tindakan yang praktikal dan komprehensif.

“Antara prinsip panduan ialah mengurangkan kos keperluan bagi pengeluaran dan penggalakan pengumpulan dana untuk PMKS dan MTC, menggalakkan kesedaran dan pembinaan kapasiti serta meningkatkan penyertaan pelabur dan akses kepada PMKS dan MTC.

“Selain itu, pelan hala tuju tersebut juga bertujuan untuk menginovasi dan menyesuaikan instrumen bagi akses inklusif, serta memanfaatkan teknologi untuk penyediaan maklumat dan kesalinghubungan yang lebih meluas,” katanya.

Strategi pelan hala tuju termasuk meningkatkan laluan PMKS dan MTC kepada pengumpulan dana, menggiatkan semula Pasaran LEAP sebagai pasaran pengantara PKS, menginovasi dan menyesuaikan produk bagi PMKS dan MTC, memudahkan janji niaga pasaran persendirian dan menjalin perkongsian awam-swasta untuk pelaburan PMKS dan MTC.

“Ia juga bertujuan untuk menambah baik pendigitalan dan ketersambungan maklumat dan data PMKS dan MTC, meningkatkan kesediaan mereka, mengukuhkan rujukan pasaran modal, dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelabur dan pengantara.

“Dalam menyokong strategi tersebut, 36 inisiatif telah dikenal pasti dengan tiga pendekatan untuk mengukuhkan ekosistem pasaran modal PMKS dan MTC,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya