SERDANG: Peneraju global dalam segmen motosikal bersaiz sederhana (250cc hingga 750cc), Royal Enfield melancarkan model motosikal terbaharu, Shotgun 650 berharga bermula RM34,900 dengan pengubahsuaian baharu di Malaysia.
Pengarah Eksekutif Didi Group, Juan Chow Wee berkata, keluaran Shotgun 650 itu boleh didapati dalam empat jenis warna dengan harga berbeza.
“Bagi warna Putih Stensil boleh didapati bermula pada RM35,900, diikuti Biru Plasma dan Hijau Gerudi masing-masing pada harga RM35,400 dan Kelabu Logam Lembaran pula pada harga RM34,900,” katanya semasa Majlis Pelancaran Shotgun 650 di Malaysia Autoshow 2024, di sini hari ini.
Katanya, Shotgun 650 diilhamkan dengan konsep SG650 yang bertindak sebagai kanvas untuk penyesuaian peminat motosikal di seluruh dunia.
“Royal Enfield Shotgun 650 mengekalkan ciri retro namun tetap membawa ciri moden di mana lampu depan solar diod pemancar cahaya (LED) yang dipasang dalam ‘nacelle neo-moden’
“Ia juga dilengkapi dengan Royal Enfield Wingman bagi memastikan lokasi langsung motosikal, paras bahan api dan minyak enjin dan peringatan perkhidmatan.
“Modal terbaharu ini dibina di atas platform 650 ‘Twin Royal Enfield’ yang merupakan penyesuaian baharu dalam reka bentuk untuk Royal Enfield selaras dengan visi masa depan syarikat,” ujarnya.
Beliau berkata, Royal Enfield Shotgun 650 turut direka untuk memberikan pengalaman penunggangan optimum yang menggabungkan kuasa, prestasi dan gaya.
“Ini bagi memastikan kami sentiasa mengekalkan Royal Enfield sebagai menjadi jenama motosikal bersaiz sederhana terkemuka di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perniagaan untuk pasaran Asia Pasifik Royal Enfield, Anuj Dua berkata, Shotgun 650 mendapat sambutan yang baik, sekali gus menjadi pemain nombor satu bagi segmen saiz sederhana dalam tempoh yang singkat.
“Ini adalah bukti modal motosikal kami berada pada peringkat global dengan penerimaan budaya bermotosikal membolehkan kami menyediakan versi pengeluaran bagi komuniti penunggang di Malaysia,” katanya. – UTUSAN