Ringgit dijangka mengukuh sekitar RM4.60 hingga RM4.68 minggu ini - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka mengukuh sekitar RM4.60 hingga RM4.68 minggu ini

SEORANG pengurup wang mengira wang kertas ringgit Malaysia sementara pelanggan menunggu di kiosk pengurup wang di Kuala Lumpur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka mengukuh sekitar RM4.60 hingga RM4.68 minggu ini, sementara menunggu pengumuman kadar inflasi terbaru Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu ini, kata penganalisis ekonomi.

Pada pukul 9 pagi semalam, mata wang tempatan naik ke paras 4.6960/6995 berbanding dolar AS daripada 4.6940/6990 pada akhir Selasa lalu, sebelum ditutup pada 4.7050/7100.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengkaji semula pemotongan kadar faedah dalam masa yang terdekat jika data ekonomi negara itu semakin lemah.

“Ini dibayangi laporan-laporan minggu lalu yang menunjukkan Indeks Sentimen Pengguna (CSI) AS jatuh kepada 69.1 mata pada Mei 2024 daripada 77.2 mata pada bulan sebelumnya.

“Selain itu, indeks untuk keadaan ekonomi semasa dan jangkaan pengguna juga merosot, masing-masing kepada 69.6 mata (April: 79.0) dan 68.8 mata (April: 76.0),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, petunjuk itu jelas menunjukkan kerisauan rakyat AS akan kadar ekonominya yang semakin perlahan.

“Sekiranya data-data inflasi AS masih tinggi dan angka-angka jumlah pekerjaan baharu masih meningkat menunjukkan ekonomi AS tidaklah perlahan, maka kemungkinan besar kadar faedahnya akan berkekalan,” ujarnya.

Bagaimanapun, indeks dolar AS (DXY) masih lagi kukuh pada 104 mata, iaitu lebih tiga peratus lebih tinggi dari tempoh setahun yang lalu menunjukkan dolar AS masih lagi boleh kembali menguat selepas keputusan Fed pada hujung minggu ini.

Dalam pada itu, katanya, Bank of England (BoE) berkemungkinan besar akan turut menurunkan kadar faedahnya tahun ini dan telah memberi isyarat bahawa pelonggaran dasar monetari akan tiba pada musim panas ini, namun dinamik pasaran tetap berubah sepanjang masa.

“Pasaran wang memperuntukkan kira-kira 60 peratus kebarangkalian kepada BoE untuk mengurangkan kadar faedah pada Jun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Group, Jamie Ling ketika sidang akhbar keputusan tahun kewangan Ambak 2024 berkata, Ambank menjangkakan ringgit boleh mengukuh sekitar 4.50 hingga 4.60 pada hujung tahun ini.

“Pada ketika ini tahap pemulihan ringgit disokong oleh beberapa faktor, termasuk keseluruhan arah dasar monetari di barat, terutamanya di AS.

“Jadi, ini melibatkan perbezaan kadar faedah antara kadar dasar di barat berbanding kadar dasar di Malaysia. Kami juga percaya bahawa jurang ini akan mengecil,” ujarnya.

Selain itu, prospek pertumbuhan domestik yang didorong oleh Pangkalan Data Utama (PADU) dan juga geran-geran yang berpotensi turut membantu pasaran besar dalam kumpulan B40 pada separuh kedua tahun ini yang akan menyediakan modal untuk penggunaan hingga akhir tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya