Proton lancar kereta lumba S70 R3 - Utusan Malaysia

Proton lancar kereta lumba S70 R3

PROTON S70 R3 antara yang dipamerkan pada sesi media Autoshow Malaysia 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Syarikat kereta nasional, Proton melancarkan kereta lumba Proton S70 R3 yang dibangunkan oleh R3 Motorsports di Malaysia Autoshow 2024 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini semalam.

Proton S70 R3 merupakan kereta lumba serba baharu pertama Proton R3 sejak Proton Saga R3 pada tahun 2019, menandakan kembalinya jenama tersebut ke perlumbaan S1K sejak tahun itu.

Setakat hari ini, Proton R3 mempunyai lima kemenangan di tangannya, lebih banyak daripada pasukan yang lain, termasuk meraih kemenangan selama tiga tahun berturut-turut dari 2017 hingga 2019.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, mesin lumba serba baharu ini adalah terusan dari legasi perlumbaan Proton, yang bermula dari era sebelum R3 apabila syarikat bersaing dalam rally dan perlumbaan litar dengan Proton Saga.

Katanya, masih lagi dalam pembangunan, kereta yang dipamerkan menampilkan evolusi terbaharu pakej aerodinamik yang disesuaikan untuk kereta lumba ini.

Jelasnya, dua unit kereta baharu ini bakal diperjuangkan oleh pasukan pada perlumbaan Sepang 1,000 kilometer (km) tahun ini.

“Proton mempunyai sejarah panjang dalam sukan permotoran, bermula dengan Proton Saga dan penglibatan kami semakin meningkat dengan penubuhan Proton R3 pada 2003.

“Sejak itu, kami telah bersaing dan menang pelbagai pertandingan hingga ke peringkat global dengan model seperti Proton Satria, Waja, Suprima S, Iriz, dan versi terbaharu Saga.

“Kini dengan Proton S70 R3, kami menambah satu lagi pencapaian dalam legasi kami, menandakan bukan sahaja kembalinya nama Proton ke acara S1K tetapi juga kereta lumba pertama berdasarkan model yang dibangunkan bersama oleh Proton dan Geely,” katanya.

Menurutnya, pembeli dan pengunjung dapat meningkatkan pengalaman mereka di Malaysia Autoshow 2024 dengan promosi eksklusif dan ganjaran dari Proton sepanjang acara tersebut.

“Pengunjung yang terus membuat tempahan model Proton akan menerima hadiah eksklusif seperti pelindung matahari, pembaca tol dan pengecas tanpa wayar untuk model terpilih.

“Promosi istimewa juga ditawarkan khusus untuk tempahan yang dibuat di Malaysia Autoshow dengan pendaftaran sebelum 30 Jun 2024.

“Ini termasuk penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk model X50, X70, dan X90 serta baucar tunai RM500 untuk model Proton S70, Saga, dan Persona,” ujarnya.

Tambahnya, terdapat juga Pandu Uji Putaran Bertuah di mana peserta dapat memutar roda bertuah untuk memenangi barangan eksklusif Proton setelah memandu uji model Proton. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya