Proton catat peningkatan jualan 17.1 peratus bulan lalu - Utusan Malaysia

Proton catat peningkatan jualan 17.1 peratus bulan lalu

PROTON X50 model terlaris Proton di Brunei.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 17.1 peratus kepada 11,025 unit bagi jualan domestik dan import berbanding 9,415 unit pada bulan sama tahun sebelumnya.

Jualan bagi empat bulan pertama 2024 juga meningkat kepada 50,175 unit, lebih tinggi daripada 49,702 unit yang terjual dari Januari hingga April 2023.

Jumlah Jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagi pasaran automotif Malaysia pula meningkat kepada 59,100 unit untuk tempoh yang sama, dengan jumlah kumulatif sebanyak 261,345 unit bagi tahun ini.

Pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 18.7 peratus pada April, manakala pegangan pasaran dalam tahun ini dijangka pada 19.2 peratus, mengekalkan kedudukan kedua dalam tangga jualan automotif negara manakala jualan eksport melonjak 38.5 peratus daripada 603 unit kepada 835 unit setakat April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, penurunan dalam jualan automotif pada April, di mana TIV menyusut sebanyak 16.8 peratus berbanding Mac 2024, mungkin disebabkan oleh tempoh cuti panjang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Ini kerana pengilang peralatan asal (OEM), pengeda, dan pengusaha dalam ekosistem automotif tempatan lain tidak beroperasi.

“Namun, permintaan berterusan untuk model Proton diperkukuh lagi oleh usaha berterusan dalam penambahbaikan kualiti dengan skor Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang lebih baik sejak 2019,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Roslan menjelaskan, jualan eksport kekal sebagai tonggak penting kepada matlamat jangka panjang Proton dan dengan Proton S70 meningkatkan jualannya dalam pasaran domestik serta eksport.

“Kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan eksport yang mampan tahun ini dan meningkatkan sumbangan jualan eksport kepada jumlah jualan tahunan kami.

“Tahun ini, kami telah menambah Trinidad dan Tobago ke dalam portfolio eksport kami dan
mengukuhkan semula kedudukan kami di Bangladesh.

“Proton yakin pasaran akan melonjak kerana masih terdapat banyak permintaan daripada pembeli kereta. Ini adalah penting bagi kami untuk terus melakukan yang terbaik, memastikan kecemerlangan dalam setiap usaha yang dijalankan,” katanya.

Proton X50 mendahului semula jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B walaupun menghadapi persaingan yang semakin sengit dengan jualan 1,642 unit pada April 2024.

Proton S70 pula telah mendahului jualan sedan segmen-C sejak awal tahun dengan 1,635 unit terjual pada bulan lalu, selain jualan kumulatif sebanyak 7,463 unit.

Selain itu, Proton Saga, mencatatkan 5,031 unit pada bulan April dengan jualan awal tahun
sehingga kini meningkat 8.8 peratus kepada 23,278 unit, mengekalkannya sebagai pilihan utama bagi pembeli kereta dengan gabungan ciri, kemudahan pemanduan dan nilai.

Bagi model Proton yang lain, jualan untuk Proton X70 mencapai 552 unit, manakala sedan segmen-B Proton Persona dan SUV perdana syarikat, Proton X90, mencatatkan jualan masing-masing sebanyak 1,429 unit dan 312 unit.

Proton Iriz pula kenderaan hatchback segmen B, menambah 424 unit kepada jumlah jualan April, membawa jumlah jualan awal tahun sehingga kini kepada 1,958 unit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya