PM baharu Singapura diyakini mampu perkukuh hubungan dengan Malaysia - Utusan Malaysia

PM baharu Singapura diyakini mampu perkukuh hubungan dengan Malaysia

LAWRENCE WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu diyakini mampu menjadi titik tolak penting bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan negara itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia dan Singapura merupakan rakan dagang dan pelaburan yang kukuh sejak sekian lama.

“Namun, dunia kini perlu menghadapi dua megatrend utama iaitu deglobalisasi dan keperluan mencapai misi sifar karbon bagi menambah baik keadaan sosio-ekonomi dunia,” katanya menerusi hantaran di laman X (dahulunya Twitter) rasmi beliau.

Zafrul berkata, beliau melihat kedua negara ini mempunyai sinergi yang boleh membina kepimpinan yang tepat bagi rantau ASEAN dalam kedua-dua perkara tersebut, terutamanya semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun hadapan.

Zafrul turut mengalu-alukan pelantikan Gan Kim Yong sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura, yang kini menyandang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan republik itu.

“Saya yakin kedua-dua sahabat lama saya ini mampu mengemudi isu-isu kepentingan bersama seperti pelaburan di Johor untuk membawa limpahan pembangunan bagi kedua-dua negara,” katanya.

Singapura melantik Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri baharu selepas hampir dua dekad Lee Hsien Loong berkhidmat sebagai Perdana Menteri sejak 2004.

Lawrence Wong, 51, sebelum ini merupakan Timbalan Perdana Menteri dan dipilih oleh Lee Hsien Loong pada 2022 daripada generasi baharu pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak republik itu mencapai kemerdekaan pada 1965. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya