PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menjalin kerjasama strategik dengan China Petrochemical Corporation (Sinopec) untuk meneroka peluang memacu pertumbuhan dan inovasi merentas rantaian nilai tenaga.
Menurut kenyataannya, perjanjian persefahaman (MoU) itu menandakan komitmen kedua-dua syarikat dalam memastikan bekalan tenaga yang berdaya tahan dan mampu milik untuk memupuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di rantau Asia Pasifik.
Katanya, ini sambil mempercepatkan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
“Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan dalam bidang komoditi dan kimia khusus, perdagangan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG), pelincir dan penyelesaian digital.
“Ia juga memacu usaha penyahkarbonan untuk pelbagai industri seperti pengangkutan, perkapalan, pembuatan, penerbangan dan kuasa, sekali gus membolehkan kedua-dua syarikat mengurangkan jejak karbon mereka sambil kekal berdaya saing,” katanya.
Petronas dan Sinopec telah memupuk perkongsian sejak 1997 yang pada mulanya ditubuhkan melalui kontrak perkongsian pengeluaran di Sudan Selatan untuk menjalankan kerja-kerja penerokaan dan pengeluaran bersama-sama rakan kongsi lain.
Sejak itu, ia telah meluas ke seluruh sektor gas dan hiliran termasuk penghantaran produk LNG dan petrokimia untuk menyokong rancangan pengembangan terminal gas Sinopec serta mendapatkan sumber untuk pelbagai aplikasi kepada industri lain.
“Dengan memanfaatkan kapasitinya sebagai penyedia tenaga bersepadu sepenuhnya, Petronas bersama rakan kongsinya telah memainkan peranannya dalam menyediakan akses kepada tenaga yang banyak dan mampu milik di rantau ini dengan produk dan penyelesaian yang berkualiti.
“Portfolionya yang luas termasuk minyak dan gas, sumber boleh diperbaharui dan rangkaian sedia produk termaju dan penyelesaian penyesuaian membolehkan syarikat menyampaikan keperluan tenaga dengan pengurangan pelepasan karbon dan pada kos yang kompetitif,” ujarnya. – UTUSAN