Perodua optimis lancar EV menjelang akhir tahun depan - Utusan Malaysia

Perodua optimis lancar EV menjelang akhir tahun depan

PPRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad (kiri) dan Ketua Eksekutif Jurutera Perodua R&D, Jehan Adnan di samping kenderaan prototaip EV pertama Perodua, EMO-1 yang diperkenalkan pada sesi media Autoshow Malaysia 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Perodua optimis dapat melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya menjelang akhir tahun depan pada harga kurang daripada RM100,000.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, untuk prototaip pertamanya, pihaknya membangunkannya sendiri tanpa melibatkan Toyota atau Daihatsu.

Katanya, mandat yang diberikan kerajaan untuk menerajui industri ini dan adalah penting bagi produk untuk melibatkan industri automotif tempatan.

“Kami mempunyai lebih 60 vendor tempatan yang menjadi pembekal kepada Perodua, jadi mereka bekerjasama dengan kami.

“Terdapat tiga komponen utama yang kami bangunankan di dalam negara bagi propotaip ketika ini dan saya pun tidak tahu yang mana satu akan berjaya untuk menggunakan produk tempatan,” katanya ketika ditemui pada lawatan media di Malaysia Autoshow 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Prototaip Myvi Conversion berkenaan terdiri daripada tiga komponen utama iaitu bangku pengujian kuasa (power bench), rangkaian penggerak kuasa (power converter) dan rekaan keseluruhan rangkanya yang dibuat di Malaysia.

Pembangunan teknologi penukaran kuasa dilakukan dengan syarikat yang berpangkalan di Australia.

Proses pembangunan bangku pengujian kuasa ini dibuat oleh Perodua dengan kerjasama dari tiga universiti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, harga EV tersebut dijangka di bawah RM100,000 dan tidak kurang daripada RM50,000 kerana kos untuk bateri sahaja sudah mencapai RM30,000.

“Kami kini pada episod pertama dan akan lagi episod kedua dan seterusnya. Kami mempunyai pelan yang unik dan yang pasti EV ini bukan sahaja mampu milik tetapi juga mempunyai nilai di pasaran terpakai.

“Sebelum ini, EV yang berusia tujuh hingga lapan tahun akan susut nilai pada pasaran terpakai. Untuk Perodua, kami akan cuba kekal pada pasaran terpakai. Kami akan mengumumkan kaedahnya nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perodua telah mencatatkan 112,845 kenderaan yag didaftarkan pada empat bulan pertama tahun ini, meningkat daripada 97,400 kenderaan pada tahun lalu.

“Sasaran pengeluaran kami pada tahun ini adalah sebanyak 340,000. Kami mempunyai tempahan yang agak tinggi sehingga April. Dari segi waktu menunggu pula, kami telah dapat mengurangkan daripada lapan hingga 10 bulan pada tahun lalu kepada satu hingga lima bulan ketika ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya