PETALING JAYA: Perdagangan negara menyaksikan pertumbuhan ketara pada April 2024, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 12.1%, mencecah RM221.74 bilion.
Ini menandakan bulan keempat berturut-turut pertumbuhan tahun ke tahun, menunjukkan arah aliran positif dalam pemulihan perdagangan global.
Eksport negara juga kembali kukuh pada April 2024 apabila mencatatkan peningkatan 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM114.72 bilion selepas penyusutan dua bulan berturut-turut.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pertumbuhan itu disumbang oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli.
“Dari segi pasaran, eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) merekodkan pertumbuhan dua digit manakala eksport ke Republik Rakyat China (China) pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
“Ini menggambarkan pemulihan ekonomi sedang berlaku di pasaran eksport utama Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Eksport Malaysia mencatat penyusutan pada Februari dan Mac masing-masing sebanyak 0.8 peratus.
Menurut kenyataan itu, import pada April 2024 meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM107.02 bilion, disumbangkan oleh import yang kukuh bagi barangan pengantara yang digunakan terutamanya dalam aktiviti pembuatan barangan untuk dieksport.
“Untuk bulan yang ke-48 berturut-turut sejak Mei 2020, Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM7.7 bilion.
“Empat bulan pertama tahun ini mencatat nilai tertinggi yang pernah direkodkan untuk tempoh tersebut bagi perdagangan, eksport dan import.
“Perdagangan meningkat 8.3 peratus kepada RM912.27 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Eksport meningkat 3.8 peratus kepada RM477.05 bilion dan import naik 13.7 peratus kepada RM435.22 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM41.83 bilion,” katanya.
Sementara itu, berbanding Mac 2024, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan pada April 2024 dicatat lebih rendah masing-masing sebanyak 9.3 peratus, 10.8 peratus, 7.6 peratus dan 39.4 peratus.
“Pengurangan ini disebabkan oleh penurunan perdagangan dengan rakan dagang utama iaitu Taiwan ROC, ASEAN, India, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Dari segi barangan, perdagangan yang lebih rendah direkodkan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum dan gas asli cecair (LNG).
“Eksport Malaysia ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada April 2024 meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada RM78.03 bilion. Di antara rakan dagang FTA yang mencatatkan peningkatan eksport adalah Hong Kong SAR, Mexico dan Kanada, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E,” katanya.
Trend positif bagi perdagangan, eksport dan import Malaysia pada tempoh Januari hingga April 2024 sejajar dengan unjuran pemulihan perdagangan global.
Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), perdagangan barangan global dijangka akan meningkat 2.6 peratus tahun ini setelah mengalami penguncupan pada 2023.
Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menjangkakan pemulihan mendadak dalam aliran barangan pada 2024 setelah mengalami kelembapan pada 2023. – UTUSAN