Pasaran modal Islam di Malaysia cecah RM2.4 trilion akhir 2023 - Utusan Malaysia

Pasaran modal Islam di Malaysia cecah RM2.4 trilion akhir 2023

PENGERUSI SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin (TENGAH) dalam sidang akhbar Forum Global Mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam 2024 di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasaran modal Islam (ICM) dilihat berkembang menjadi salah satu komponen utama ekonomi negara, mencakupi hampir 64 peratus daripada pasaran modal Malaysia.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata, ICM berkembang mencecah RM2.4 trilion pada akhir 2023.

Katanya, jumlah sukuk terkumpul melebihi RM1.2 trilion, aset dana Islam di bawah pengurusan melepasi RM226 bilion dan ekuiti patuh syariah berjumlah RM1.2 trilion.

“Malaysia kekal sebagai peneraju global bagi sukuk dari segi terbitan, dan pada akhir tahun lalu, ia menyumbang 35 peratus daripada sukuk terkumpul global,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada hari kedua Forum Global Mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam 2024 di sini, hari ini.

Menurut beliau, satu lagi bahagian penting dalam ekosistem ICM adalah kehadiran dominan saham-saham patuh syariah di pasaran saham tempatan.

Awang Adek berkata, SC mengumumkan senarai rasmi pertama saham-saham patuh syariah pada 18 Jun 1997, yang merangkumi 371 syarikat, iaitu separuh daripada syarikat senaraian awam pada masa ini.

Hari ini, terdapat 816 saham patuh syariah yang mewakili lebih daripada 80 peratus jumlah keseluruhan syarikat tersenarai. 

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai Bursa Sosial yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, pihaknya dijangka melancarkan Bursa Sosial pertama di Asean pada hujung tahun ini.

Beliau berkata, platform pengumpulan dana khusus untuk projek dengan hasil sosial yang positif melalui mobilisasi swasta dan modal dermawan dalam memenuhi keperluan golongan kurang berkemampuan. 

“Hal ini disebabkan kadang kala di Malaysia ada syarikat atau kumpulan mengutip sumbangan namun menjadi isu sama ada sumbangan itu sampai atau tidak kepada penerima yang ditujukan.

“Oleh itu, apabila kita mempunyai bursa ini, ia akan dikawal selia oleh kerangka kerja yang akan dibangunkan jawatan kuasa penasihat membabitkan kerangka kerja tadbir urus dan jaminan. 

“Selain itu, syarikat, badan kebajikan atau institusi keagamaan yang mahu mengumpul dana untuk projek khusus tertentu juga boleh menggunakan platform ini nanti,” katanya. 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan sempena Forum Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) memaklumkan penubuhan Bursa Sosial yang pertama di negara ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan ekosistem pelaburan.

Anwar berkata, ini merupakan inisiatif berstruktur bagi menggalakkan penyertaan modal swasta dalam projek sosial dengan penghasilan yang positif.

Pendekatan itu akan memberi manfaat kepada entiti seperti badan bukan kerajaan (NGO), perusahaan sosial dan Majlis Agama Islam negeri. 

Beliau turut memaklumkan, platform itu akan dijangka mula beroperasi pada awal 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya