MISC raih untung bersih RM759.9 juta - Utusan Malaysia

MISC raih untung bersih RM759.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan MISC Berhad selepas diagihkan kepada pemegang ekuiti adalah sebanyak RM759.9 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024, meningkat 24 peratus berbanding RM612. 9 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disebabkan oleh keuntungan operasi dan peruntukan rosot nilai yang lebih tinggi.

Menurut kenyataan, pendapatan kumpulan meningkat sebanyak RM3.6 bilion atau 18.2 peratus berbanding RM3.07 bilion pada pendapatan suku berakhir 31 Mac 2023, terutamanya disumbangkan oleh projek yang sedang berlangsung dalam segmen marin dan kejuruteraan berat serta segmen penghantaran petroleum dan produk.

“Peningkatan pendapatan itu telah diimbangi oleh pengiktirafan pendapatan yang lebih rendah dalam segmen perniagaan luar pesisir dari penukaran unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemuatan (FPSO) berikutan penurunan kemajuan projek dalam suku semasa,” katanya.

Selain itu, MISC berkata, keuntungan operasi untuk suku berakhir 31 Mac 2024 meningkat sebanyak RM882 juta atau 6.8 peratus berbanding RM825.5 juta pada keuntungan suku yang sama tahun sebelum.

“Ia didorong oleh keuntungan yang tinggi dalam segmen penghantaran petroleum dan produk, namun ia diimbangi dengan keuntungan yang lebih rendah dalam segmen perniagaan luar pesisir dari penurunan kemajuan pembinaan.

“MISC juga mencatatkan aliran tunai yang dihasilkan dari aktiviti operasi sebanyak RM210.8 juta dalam suku tinjauan, lebih rendah sebanyak 76.8 peratus berbanding RM907.1 juta pada suku sama tahun sebelum disebabkan pembayaran tinggi kepada pemiutang,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kadar segmen penghantaran pembangunan dan pengkomersialan gas asli cecair (LNG) menurun pada suku pertama 2024 disebabkan oleh permintaan musim yang lemah dan peningkatan inventori di pasaran Eropah dan Asia Timur Laut.

“Pada tahun semasa, prospek untuk pasaran penghantaran LNG tetap positif kerana kadar tempat dijangka meningkat secara beransur-ansur seiring dengan permintaan musiman.

“Pendapatan operasi untuk segmen aset dan penyelesaian gas pula dijangka kekal stabil, disokong oleh portfolio sewa jangka panjangnya,” katanya.

MISC berkata, bagi segmen penghantaran Petroleum pula kadar pasaran kekal kukuh di tengah-tengah peningkatan permintaan tan-mil yang didorong oleh pertumbuhan eksport jarak jauh Atlantik, terutamanya dari AS, Brazil, dan Guyana.

“Prospek tahun semasa kekal positif dengan asas bekalan-permintaan kapal tangki yang menguntungkan.

“Segmen penghantaran petroleum dan produk akan terus mengenal pasti peluang terutamanya dalam aset dwi-bahan api dan fokus untuk membina pendapatan terjamin jangka panjang untuk menjana pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Bagi perbelanjaan capex huluan global pula kekal berdaya tahan pada suku pertama 2024 di tengah-tengah harga minyak yang tinggi pada masa ini.

“Permintaan untuk unit FPSO dijangka kekal kukuh sepanjang tahun ini terutamanya didorong oleh peningkatan permintaan minyak global dan sejumlah projek yang dirancang yang sihat terutamanya dari Brazil, Afrika, dan Asia-Pasifik,” ujarnya.

Tambahnya, perbelanjaan capex huluan global untuk segmen marin dan kejuruteraan berat kekal kukuh didorong oleh bekalan global yang lebih ketat disebabkan oleh landskap geopolitik yang meningkat dan sekatan bekalan Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak dan sekutunya (OPEC+). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya