CYBERJAYA: Platform aplikasi tempahan mengaji al-Quran secara online pertama di dunia, Mengajionline.com menyasarkan untuk memperluaskan perniagaan sebagai pusat sehenti pengajian al-Quran dengan pendapatan RM5 juta pada tahun ini.
Pengasas Mengajionline.com, Muhammad Akram Afifi Mohd. Salleh berkata, beliau bercadang untuk mengadakan kerjasama ke beberapa negara termasuk Indonesia dan Asia Barat pada suku ketiga 2024 dan suku keempat 2024.
Ujarnya, sebagai sebuah pusat sehenti al-Quran, saya berhasrat menarik serta memperluaskan perniagaan ke perniagaan (B2B) di beberapa negara yang berpotensi dan berminat dalam perniagaan ini.
“Saya juga berhasrat untuk bekerjasama dengan penerbit Quran untuk meletakkan satu bar code (bar pengesan) dalam al-Quran untuk memudahkan mereka yang membeli atau membaca al-Quran mendapat sistem sokongan pembelajaran Quran dengan guru-guru bertauliah.
“Kebanyakan permintaan adalah dari negara Islam di seluruh negara,” katanya ketika ditemui Utusan Malayia sempena Cyberview Living Lab Accelarator Cohort (LLAC) 18 Demo Day di Cyberjaya baru-baru ini.
Menurut beliau, platform telah menembusi lebih 30 negara dan melibatkan 10,000 guru yang mengajar dari seluruh negara.
Setakat ini, seramai 25,000 pelajar yang melibatkan beberapa peringkat umur dari kanak-kanak hingga dewasa telah mengikuti platform tersebut secara dalam talian.
Jelas Muhammad Akram Afifi lagi, platform mengaji yang ditubuhkan sejak 2020 tersebut telah menarik perhatian pelanggan dari seluruh negara bukan sahaja bermula dari pembelajaran Iqra, Muqaddam, quran tajwid, namun melibatkan tarannum, fardu ain, bahasa Arab, tahfiz dan tadabbur.
Malah, platform Mengajionline.com telah menerima sambutan menggalakkan dari beberapa pesantren dan penerbit dari Indonesia yang menyatakan hasrat untuk bekerjasama.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan hasrat untuk menyertai LLAC bagi mendapatkan pendedahan yang lebih luas, latihan, serta membina jaringan kerjasama yang lebih luas yang terdapat dalam ekosistem ini.
“LLAC memberi peluang kepada syarikat mendapat kerjasama pelbagai pihak,” jelasnya.-UTUSAN