Malakoff sasar 15 peratus penggunaan biojisim di Loji Janakuasa Tanjung Bin - Utusan Malaysia

Malakoff sasar 15 peratus penggunaan biojisim di Loji Janakuasa Tanjung Bin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menyasarkan penggunaan sebanyak 15 peratus biojisim menerusi proses pembakaran di Loji Janakuasa Tanjung Bin, Pontian, Johor menjelang 2027.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, ia ditetapkan selepas pihaknya berjaya dalam siri percubaan kombinasi pembakaran sehingga 0.5 peratus pada Disember 2022.

Ujarnya, Malakoff telah menyelesaikan pembinaan dan menjalankan kombinasi pembakaran biojisim sebanyak dua peratus dalam sukuan 2024 dengan perancangan untuk meningkatkannya kepada tiga hingga lima peratus pada 2025 sebelum mencapai 15 peratus pada 2027.

“Usaha ini bertujuan mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG), meningkatkan kestabilan grid dan sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Peralihan Tenaga yang Adil (JET), yang menyasarkan peralihan tenaga lebih saksama dan mesra alam.

“Sebagai pemain industri berpengalaman, kami yakin dengan keupayaan dan tenaga kerja yang berpengalaman untuk melaksanakan inisiatif tersebut.

“Namun dalam masa sama, kami sentiasa mencari cara baharu untuk meningkatkan kemahiran bagi memenuhi permintaan industri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Kombinasi Pembakaran Biojisim Malakoff Corporation Berhad di Loji Janakuasa Tanjung Bin, di sini semalam.

Pelaksanaan fasa sepenuhnya sebanyak 15 peratus kombinasi pembakaran biojisim bersama arang batu akan mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida bersamaan 141 juta pokok matang yang di tanam.

Anwar Syahrin berkata, inisiatif tersebut merupakan satu langkah penting bagi syarikat dalam meningkatkan lagi keselamatan tenaga negara sambil mengurangkan pengeluaran karbon.

Ujarnya, adalah penting bagi syarikat itu untuk mengekalkan sumbangan mereka terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin keselamatan tenaga.

“Ini terutamanya apabila kami menyumbang kira-kira 21 peratus pengeluaran tenaga di Semenanjung, ia satu keputusan yang betul, yang telah dibuat oleh kami bagi mengekalkan agar kami masih lagi relevan di dalam industri tenaga ini.

“Kami komited dalam peralihan kepada tenaga diperbaharui dan meneutralkan jejak karbon kami, serta meningkatkan keutamaan terhadap prinsip ESG dan mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya