Malakoff raih untung bersih RM62.2 juta suku pertama 2024 - Utusan Malaysia

Malakoff raih untung bersih RM62.2 juta suku pertama 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATMI) sebanyak RM62.2 juta bagi suku pertama 2024, melonjak 182.2 peratus berbanding RM75.7 juta Kerugian Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (LATMI) yang dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan, lonjakan keuntungan terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih baik daripada loji janakuasa Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE) memandangkan kos arang batu purata wajaran rendah berikutan penstabilan harga arang batu global ditambah dengan kos kewangan yang lebih rendah.

Di samping itu, peningkatan dibantu oleh ketiadaan kerugian dari Loji Kuasa Air Bebas Al-Hidd (IWPP) – rakan sekutu asing 40 peratus di Bahrain dan kekurangan kerugian rosotnilai ke atas pelaburan kumpulan dalam Al-Hidd IWPP.

“Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM2,280.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024, penurunan sebanyak 0.2 peratus daripada RM2.28 bilion yang dilaporkan pada suku sama 2023.

“Penurunan itu disebabkan terutamanya oleh pembayaran tenaga yang lebih rendah yang direkodkan daripada TBP dan TBE mencerminkan penurunan harga arang batu terpakai (ACP).

“Walau bagaimanapun, ini sebahagiannya disederhanakan oleh pembayaran tenaga yang lebih tinggi yang direkodkan daripada Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. (SEV) memandangkan faktor penurunan yang lebih tinggi,” menurut kenyataan.

Di dalam tonggak ‘Malakoff Environmental Solutions’, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mencatatkan PATMI sebanyak RM21.8 juta bagi sukuan ini, iaitu peningkatan sebanyak 3.3 peritus daripada RM21.1 juta yang dilaporkan pada sukuan yang sama tahun lepas.

Dari segi operasi, jumlah bahan kitar semula Alam Flora yang dikumpulkan meningkat sebanyak 17.8 peratus dalam tempoh yang sama, bukti kesan positif usaha kumpulan ke arah ekonomi kitaran.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, di samping pengembangannya dalam sector Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), kumpulan juga memberi tumpuan untuk memastikan kebolehgunaan dan kestabilan loji kuasanya bagi memenuhi keperluan keselamatan tenaga
negara.

Ujarnya, seperti yang dilaporkan oleh Pengendali Sistem Grid, grid Semenanjung Malaysia mencapai paras tertinggi sepanjang masa iaitu 20,028 MW pada 29 April 2024, menunjukkan peningkatan permintaan dan keperluan penghantaran yang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan tenaga.

“ACP yang stabil susulan harga arang batu global yang lebih baik telah memberi kelebihan kepada kami.

“Pengumuman baru-baru ini bahawa pengeluar tenaga bebas (IPP) boleh mula menjual elektrik terus kepada pengguna bermula September juga akan memberi manfaat kepada kumpulan kerana kami dapat menjual elektrik terus kepada pelanggan dengan menggunakan konsep ‘caj pusingan,’ terutamanya dengan memanfaatkan aset brownfield kami.

“Sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk ‘menghijaukan’ loji termal kami untuk peralihan tenaga yang bertanggungjawab, kumpulan telah mencipta satu pencapaian penting bulan ini dengan melancarkan inisiatif penyahkarbonan kami, projek kombinasi pembakaran biojisim di loji janakuasa 2,100 MW TBP kami,” ujarnya.

Selain itu, katanya, melalui projek ini, pihaknya menyasarkan untuk mencapai 15 peratus nisbah kombinasi pembakaran biojisim menjelang 2027, yang dijangka dapat mengimbangi sejumlah besar pelepasan setara karbon dioksida (CO2e), setanding dengan penanaman 142 juta pokok yang matang.

“Kami gembira kerana kerajaan telah memperkenalkan Pelan Tindakan Biojisim Negara 023-2030 (PTBN2030) untuk menangani cabaran pengedaran biojisim dan pra-pemprosesan, walaupun terdapat dengan banyaknya.

“Kami berharap dengan sokongan yang mencukupi daripada pihak kerajaan, kami dapat mencapai sasaran nasional untuk mempunyai 40 peratus campuran tenaga utama yang datang daripada sumber RE menjelang 2035 yang akan mengurangkan pelepasan CO2e sebanyak 10 juta tan setahun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya