KUALA LUMPUR: Langkah pengukuhan ringgit oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan dilihat telah berjaya memberikan impak positif apabila mata wang tempatan mengukuh sebanyak 1.6 peratus dalam tempoh 26 Februari hingga 15 Mei 2024 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, ia berikutan prestasi ringgit dan kecairan pasaran tukaran asing (FX) yang dilihat lebih baik.
“Kerajaan dan BNM telah mengambil beberapa tindakan yang diselaraskan untuk menggalakkan aliran yang konsisten ke dalam pasaran FX termasuk menggalakkan penghantaran pulang dan penukaran pendapatan pelaburan asing oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Ia juga termasuk meningkatkan perbincangan dengan syarikat dan pengeksport untuk menukar hasil dan pendapatan pelaburan luar negara mereka secara lebih konsisten dan tepat pada masanya,” katanya dalam sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Pertama 2024, di sini semalam.
Beliau berkata, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit, yang mengukur prestasi ringgit berbanding mata wang rakan dagangan utama telah meningkat sebanyak 2.5 peratus.
“Jika dibandingkan dengan mata wang serantau, ringgit juga menunjukkan prestasi yang agak baik, kedudukan dalam julat atas berbanding dolar AS.
“Jumlah dagangan FX harian juga telah meningkat seiring dengan tebaran bida-tawar yang lebih kecil, menunjukkan kecairan yang lebih baik dalam pasaran FX domestik,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, BNM menjangkakan aliran itu dapat dikekalkan dari semasa ke semasa memandangkan pendapatan pelaburan dan hasil eksport bersifat berulang.
Selain itu, beliau berkata, satu lagi inisiatif yang sedang BNM usahakan adalah untuk rangka kerja pra-kelulusan pantas bagi korporat yang membawa balik dana mata wang asing dan menukar kepada ringgit.
“Usaha itu bagi membolehkan korporat melabur semula di luar negara apabila tiba masanya. – UTUSAN