PETALING JAYA: Kutipan hasil negara dijangka menurun pada 2024 disebabkan penurunan berterusan dalam pendapatan pelaburan berkaitan petroleum, menurut laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia 2024 oleh Bank Dunia.
Menurut laporan tersebut, hasil kerajaan persekutuan diunjur menurun kepada 15.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2024 berbanding 17.3 peratus tahun lalu terutamanya disebabkan oleh pendapatan pelaburan yang lebih rendah di bawah kutipan hasil bukan cukai.
Ujarnya, secara khusus, kerajaan menjangkakan dividen yang lebih rendah daripada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) walaupun andaian untuk harga minyak global lebih tinggi sedikit tahun ini pada AS$85 setong berbanding AS$82.5 setong tahun lalu.
“Kerajaan menganggarkan penurunan sederhana dalam kutipan hasil cukai 2024, berikutan pengenalan pelbagai langkah cukai yang digariskan dalam pengumuman belanjawan baru-baru ini.
“Kutipan hasil cukai dijangka berada pada 12.3 peratus daripada KDNK pada 2024 berbanding 12.6 peratus pada 2023,” menurut laporan.
Laporan itu menjelaskan, beberapa langkah berkaitan cukai telah dilaksanakan tahun ini untuk meluaskan cukai.
“Sebagai contoh, mulai 1 Mac, kerajaan telah mengenakan cukai keuntungan modal (CGT) sebanyak 10 peratus ke atas keuntungan bersih pelupusan saham tidak tersenarai untuk syarikat, serta kadar cukai perkhidmatan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan terpilih dengan skop yang lebih luas.
“Walaupun langkah-langkah ini menunjukkan tanda-tanda positif usaha kerajaan untuk meningkatkan kutipan cukai, ia masih tidak mencukupi untuk menangani ketidakcukupan hasil yang timbul daripada jurang cukai yang semakin meningkat di Malaysia.,” ujarnya.
Dalam pada itu, laporan turut menjangkakan perbelanjaan subsidi akan menurun memandangkan pelaksanaan subsidi bersasar.
“Perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial dijangka menurun kepada 2.7 peratus daripada KDNK pada 2024, terutamanya daripada subsidi bahan api yang lebih rendah,” katanya. – UTUSAN