PETALING JAYA: Jualan kenderaan di Malaysia bagi April 2024 meningkat 21 peratus kepada 57,991 unit daripada 47,802 unit pada bulan sama tahun lalu, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
MAA berkata, jualan kenderaan penumpang meningkat sebanyak 53,253 unit pada April 2024 daripada 42,587 unit pada April 2023, manakala jualan kenderaan komersial jatuh kepada 4,738 unit daripada 5,215 unit.
Jualan bagi empat bulan pertama tahun ini adalah naik lapan peratus kepada 260,236 unit berbanding 240,417 unit bagi tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah jualan kenderaan penumpang naik kepada 238,247 unit berbanding 214,551 unit pada tempoh sama 2023 dan kenderaan komersial turun kepada 21,989 unit berbanding 25,866 unit tempoh sama 2023.
“Jumlah Volum Industri (TIV) untuk April 2024 adalah 18 peratus lebih rendah daripada Mac 2024 iaitu pada 71,052 unit. April merupakan bulan bekerja yang singkat kerana cuti perayaan Hari Raya.
“TIV dari awal tahun sehingga April 2024 adalah lapan peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, MAA berkata, jumlah pengeluaran pada April 2024 pada 56,895 unit, 38 peratus lebih tinggi berbanding 41,160 unit pada bulan sama 2023.
Jelasnya, pengeluaran kenderaan penumpang pada bulan tersebut pada 53,857 unit daripada 38,575 unit pada April 2023, manakala kenderaan komersial pada 3,038 unit daripada 2,585 unit.
Bagi tempoh empat bulan pertama pula, jumlah pengeluaran mencapai 267,326 unit, naik 12 peratus daripada 239,554 unit bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
“Jualan pada Mei 2024 dijangka lebih tinggi sedikit daripada April 2024,” ujarnya. – UTUSAN